AGENDANASIONAL

UUM rangkul sembilan emas pada PECIPTA 2019

ALOR SETAR, 29 SEPT: Universiti Utara Malaysia (UUM) meraih sembilan anugerah emas pada Persidangan dan Expo Antarabangsa Ciptaan Institut Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2019, yang berlangsung di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Johor pada 22 September lepas.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UUM, Prof Dr Razamin Ramli berkata, sembilan anugerah itu dirangkul melalui produk ‘Baju Kedah Warisan Tanah Melayu’, ‘Road Safety Educational Game’, ‘Malaysian Harmony Index’, ‘Cerdik BM’, dan ‘REYOWAY’.

Katanya, produk lain ialah ‘Saikolab Profiler – Recognizing Individual’s Real Potential’, ‘Organic Personal Care Products From Sintok (Entada Spiralis) Bark Extract’, ‘Makan @ Local Chatok (M@LC)’ dan ‘Model of Islamic Successful Entrepreneurs (ISE) in Social Entrepreneurship (SE)’.

Selain itu, UUM turut merangkul masing-masing satu anugerah perak dan gangsa menerusi produk ‘Model LESTARI: SINTOKYO’ dan ‘Slide & Read’.

“PECIPTA kali ini juga telah menobatkan produk reka cipta UUM iaitu Makan@Local Chatok oleh Dr Siti Mahfuzah Sarif, Dr Mohamad Farhan Mohamad Mohsin, Prof Madya Dr Syamsul Bahrin Zaibon, Dr Shafinah Farvin Packeer Mohamed dan Dr Zurina Hanafi sebagai penerima Anugerah Khas PECIPTA’19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razamin berkata, penyertaan UUM di PECIPTA kali ini membuktikan universiti itu sentiasa memberi sokongan penuh kepada ahli akademik universiti ke arah penyelidikan yang berinovatif dan seterusnya menuju kepada aktiviti pengkomersilan.

Lebih 500 produk penyelidikan dan inovasi daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta pihak industri, agensi kerajaan dan swasta dipertandingkan pada PECIPTA 2019.

– BERNAMA


Pengarang :