Amirudin Shari berbual mesra dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum bermulanya Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan semakin sukar raih kepercayaan rakyat – Amirudin

SHAH ALAM, 11 OKT: Cabaran pemegang kuasa untuk merebut kepercayaan rakyat bagi membina bangsa pada masa kini semakin sukar jika tidak dilaksanakan sebaiknya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, semangat melawan arus perdana sudah diarusperdanakan dan orang awam tidak mempercayai sabarang naratif rasmi.

Katanya, hal itu menjadikan ketidakpercayaan kepada pemegang kuasa semakin memuncak sekali gus membantutkan sebarang usaha mencapai perpaduan untuk hidup rukun dan damai.

“Gerak sejarah saat ini seolah-olah menuju ke arah nasionalisme ekstrem, atau yang disebut-sebut sebagai populisme.

“Bagaimana kita menganggap fenomena ini akan menentukan jatuh bangun gerak politik kita, silap perkiraan, kemenangan bersejarah 2018 boleh dinafikan dan Barisan Nasional atau apa sahaja kerjasama politik yang baharu mungkin boleh mendapat tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Nasional Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai di Hotel Concorde, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Institut Darul Ehsan, Prof Dato’ Dr Mohamed Redzuan Othman.

Amirudin berkata, penting untuk pemegang kuasa mengurus kepercayaan rakyat dan jika tidak diuruskan dengan baik ia bakal memakan diri.

“Saya percaya soal percaya dan ketidakpercayaan sudah pasti hadir dalam pelbagai bentuk terutamanya soal fesyen, perjalanan, muzik dan sejarah latar belakang.

“Ditambah dengan kebisingan media sosial, kepelbagaian gaya hidup yang berbeza sama ada dari segi muzik, agama, orientasi seks dan sebagainya, internet telah membawa seribu satu penyelesaian masalah kepada para pemegang kuasa,” katanya.


Pengarang :