Peserta yang menyertai Kursus Kepimpinan Pelajar Islam (KKPI) bergambar pada program yang berlangsung dari 1 hingga 3 November lalu. Foto ihsan Persatuan Pelajar Islam Selangor
AGENSISELANGOR

PEPIAS komited lahirkan pemimpin peduli rakyat

SHAH ALAM, 5 NOV: Kursus Kepimpinan Pelajar Islam (KKPI) 2019 komited melahirkan pimpinan holistik, berketerampilan dan menjadikan al-Quran serta Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

Program anjuran Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) pada 1 hingga 3 November lalu bagi mengenal pasti dan membangunkan potensi peserta untuk diaplikasi di sekolah dan lapangan.

Presidennya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata ia membuka ruang kepada peserta untuk menjadikan PEPIAS sebagai landasan pengembangan potensi diri, di samping terbabit aktif dalam aktiviti kebajikan di lapangan masyarakat.

“PEPIAS akan terus komited bersama badan bukan kerajaan lain dan agensi kerajaan untuk menjalankan aktiviti bagi melahirkan lebih ramai kepimpinan muda berkualiti di peringkat sekolah yang peduli serta berbakti kepada msyarakat.

“Ini bagi menjadikan pimpinan pelajar yang berketerampilan dan kompeten sejajar usaha Kerajaan Negeri berdasarkan Dasar Belia Negeri Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Program kali ke-11 yang dahulunya dikenali sebagai Kem Remaja Islam Selangor disertai 110 pemimpin daripada 19 buah sekolah menengah dan 40 aktivis mahasiswa seluruh negeri.

Pada masa sama, Ahmad Fahmi berkata PEPIAS akan mengadakan satu program khas untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia iaitu Perkampungan Menara Gading Selangor (PMGS) tidak lama lagi.

Menerusinya, beliau menyasarkan pembabitan 300 bakal mahasiswa dari seluruh negeri.

KKPI 2019 diadakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor dan Angkatan Belia Islam (ABIM) Selangor di Institut Latihan Dakwah Selangor Sabak Bernam.

Program itu dirasmikan Timbalan Yang Dipertua ABIM Selangor, Mohamed Azlan Dajul Amin.

Antara aktiviti diadakan adalah Inovasi Khalifah, Malam Khalifah Budaya dan Himpunan Khalifah.


Pengarang :