Selangorkini
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Seremban menemui tumpahan minyak dipercayai bahan kimia di dalam anak sungai di Mantin, Seremban pada 25 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Anak Sungai Belihoi kembali pulih, bebas pencemaran

SEREMBAN, 29 DIS: Anak Sungai Belihoi di Mantin, dekat sini yang tercemar akibat pembuangan bahan dipercayai mengandungi sisa kimia 25 Disember lalu, kembali normal dan bebas daripada sebarang pencemaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain yang berkaitan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat terutamanya kepada orang awam.

“Kerja pembersihan sungai ini telah dijalankan sejak Rabu lalu (25 Disember) dan telah siap sepenuhnya pada hari berikutnya iaitu pada hari Jumaat sebelah petang.

“Ketika ini JAS masih menjalankan siasatan berhubung pembuangan haram ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Veerapan berkata, setakat ini contoh air sungai dan sisa buangan masih belum diperolehi daripada Jabatan Kimia dan ianya dijangka hanya akan diperoleh dalam masa dua minggu.

Katanya, JAS melakukan siasatan mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :