AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia Derivatives catat jumlah dagangan tertinggi

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Bursa hadapan Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) mencatat dua rekod pencapaian baharu semalam (28 Januari), termasuk jumlah tertinggi kontrak yang didagangkan dalam tempoh sehari.

Jumlah dagangan harian di bursa itu turut mencecah paras tertinggi iaitu sebanyak 140,945 kontrak dan mengatasi rekod sebelum ini berjumlah 133,192 kontrak yang didagangkan pada 25 Ogos, 2015, demikian menurut kenyataan Bursa Malaysia, hari ini.

Malah, kontrak hadapan minyak sawit mentah (FCPO) turut mencatat jumlah dagangan harian tertinggi iaitu 107,062 kontrak, sekali gus mengatasi rekod sebelum ini sebanyak 97,813 kontrak yang didagangkan pada 22 Februari 2017.

“Kesemua rekod pencapaian tertinggi itu disumbangkan oleh pertumbuhan dagangan hadapan yang kukuh selain susulan ketidaktentuan akibat isu-isu politik dan kesihatan di peringkat global.

“Pertumbuhan jumlah dagangan itu turut menjadi bukti kepercayaan dan keyakinan pedagang global dan domestik terhadap produk yang ditawarkan oleh BMD dalam pengurusan harga dan dedahan risiko di platformnya,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BMD, Samuel Ho kepada Bernama.

-BERNAMA


Pengarang :