Foto AFP
GLOBAL

Wabak koronavirus: AS mula saringan di tiga lapangan terbang

WASHINGTON 18 JAN: Amerika Syarikat (AS) memulakan saringan di tiga lapangan terbangnya untuk mengesan pengembara dari Wuhan, China, yang mungkin mengalami simptom wabak koronavirus baharu.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC), saringan itu dilaksanakan di lapangan terbang San Francisco, New York dan Los Angeles dengan memfokus mereka yang datang dari Wuhan, lapor REUTERS

Setakat ini, virus itu sudah menular dari China ke Jepun serta Thailand, dan pegawai CDC menjangkakan lebih banyak kes dilaporkan di luar China, namun risiko terhadap AS dianggap rendah.

Pengarah Bahagian Kuarantin dan Migrasi Global CDC, Dr Martin Cetron, berkata CDC akan menghantar kira-kira 100 kakitangan tambahan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, Lapangan Terbang Antarangsa San Francisco dan Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

Bawah prosedur saringan terbabit, pengembara dari Wuhan akan dibawa ke tempat berasingan di lapangan terbang di mana mereka perlu menjawab soal selidik dan menjalani pemeriksaan demam.

Mereka yang mempunyai simptom akan ditanya soalan tambahan berkaitan dan jika perlu, dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut CDC, pihaknya mungkin menyesuaikan prosedur saringan selaras dengan pelaksanaan siasatan terhadap wabak itu.


Pengarang :