Kakitangan pusat membeli-belah memakai pelitup muka di tengah-tengah kebimbangan penyebaran Covid-19 di Marina Bay, Singapura pada 18 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Tiada kes baharu di Singapura

SHAH ALAM, 23 FEB: Tiada kes positif baharu Covid-19 di Singapura hari ini, yang menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat kekal 89, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Dalam perkembangan terkini, MOH berkata dua lagi pesakit dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah mereka yang dibenarkan pulang setakat ini ialah 51 orang.

Seorang daripada mereka ialah lelaki rakyat China berusia 56 tahun dari Wuhan yang tiba bersama temannya di Singapura pada 19 Januari.

Menurut kementerian itu, daripada 38 kes yang disahkan dan masih menerima rawatan di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala lima kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat ini, enam kes dikaitkan dengan premis The Life Church and Missions Singapore; sembilan dengan kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan swasta yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura; lima dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights dan 23 dengan gereja Grace Assembly of God.

Pada tengah hari, MOH mengenal pasti 2,812 kontak rapat yang dikuarantin dengan 908 sedang menjalani kuarantin manakala 1,904 menyempurnakan kuarantin mereka.

-BERNAMA


Pengarang :