AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Bursa Malaysia mencatat prestasi berbeza berbanding semalam apabila dibuka lebih tinggi hari ini, didorong oleh peningkatan ketara Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.06 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 14.24 mata atau 0.97 peratus kepada 1,481.18 daripada 1,466.94 sewaktu ditutup pada Isnin.

Sewaktu dibuka hari ini, FBM KLCI naik 9.36 mata kepada 1,476.30.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 350 berbanding 45 manakala 141 kaunter tidak berubah, 1,462 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 280.02 juta saham bernilai RM141.83 juta.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikannya hari ini menyifatkan peningkatan semalaman di Wall Street selain aktiviti belian saham berharga rendah berkemungkinan menyuntik sentimen lebih baik berbanding senario suram di pasaran domestik ketika ini.

“Dari sudut teknikal, kita boleh menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,450 hingga 1,500 hari ini manakala paras rintangan disemak semula kepada lingkungan 1,450 dan 1,435,” katanya.

Jangkaan bahawa pihak penggubal dasar akan mengambil tindakan bagi menampung impak penularan COVID-19 terhadap ekonomi global juga telah menyebabkan Wall Street berjaya mengakhiri penyusutannya selama tujuh hari berturut-turut dan naik sebanyak 4.6 peratus.

Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tiga sen kepada RM8.42, Tenaga naik enam sen kepada RM12.56, Public Bank menokok 32 sen kepada RM17.40, IHH menambah dua sen kepada RM5.70 dan CIMB meningkat empat sen kepada RM4.64 .

Bagi saham aktif, kaunter tenaga seperti Sapura Energy, Bumi Armada dan KNM masing-masing naik satu sen kepada 17 sen, 32 sen dan 21 sen manakala Avillion dan Pansar masing-masing tidak berubah pada 16 sen dan 64.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 112.88 mata kepada 10,467.49, Indeks FBM Emas Shariah naik 109.93 mata kepada 11,128.64 manakala Indeks FBMT 100 menokok 108.04 mata kepada 10,282.51.

FBM 70 melonjak 172.79 mata kepada 12,817.34 dan FBM Ace menokok 78.012 mata kepada 5,336.56.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.46 mata kepada 132.39, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 142.53 mata kepada 14,291.25 manakala Indeks Perladangan menambah 34.0 mata kepada 6,753.48.

– BERNAMA


Pengarang :