Selangorkini
Orang ramai memakai topeng pelindung muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19 di Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 40 kes positif baharu di Singapura, jumlah kini 385

SINGAPURA, 20 MAC: Singapura mencatat 40 lagi kes positif baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 385 di republik ini, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatannya Kenneth Mak.

Daripada 40 kes baharu itu, 30 adalah kes dari luar dan bakinya adalah 10 kes tempatan, kata beliau pada sidang media di sini yang dipengerusikan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Daripada 30 kes dari luar itu, 22 daripadanya adalah rakyat Singapura dan pemastautin tetap sementara tujuh lagi adalah pemegang pas jangka panjang dan seorang lagi pelawat jangka pendek.

Mak berkata kes dari luar yang baharu mempunyai pelbagai sejarah perjalanan ke negara-negara berbeza seperti United Kingdom, Indonesia, Jerman dan juga Amerika Syarikat.

Sementara itu, Singapura bakal melaksanakan langkah penjarakkan selamat yang lebih tegas bagi mengurangkan lagi jangkitan Covid-19 di peringkat tempatan, terutamanya segmen populasinya yang mudah terdedah kepada jangkitan.

Antaranya mulai sekarang sehingga 30 Jun tahun ini, semua acara dan perhimpunan yang dihadiri 250 peserta atau lebih dalam satu-satu masa perlu ditangguh.

“Ini adalah lanjutan daripada peraturan sebelum ini untuk acara hiburan, kebudayaan dan sukan yang mempunyai jualan tiket dihadkan kepada kurang daripada 250 peserta, kata Wong.

– BERNAMA


Pengarang :