Orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi mana-mana tempat awam dan tempat terbuka ekoran penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu disyaki positif Covid-19 dibenar kerja dari rumah

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kerajaan telah bersetuju memberi pelepasan khas daripada bertugas atau kebenaran untuk bekerja dari rumah bagi membolehkan ketua jabatan mengurus petugas yang disyaki dijangkiti Covid-19 dalam usaha mengurangkan risiko penularan virus itu.

Perkara itu antara garis panduan pengendalian isu-isu berkaitan penularan jangkitan Covid-19 di premis kerajaan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Abd Rahman yang diedarkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkuat kuasa hari ini.

Menurut garis panduan itu, setelah melaksanakan imbasan suhu badan terhadap pegawai, ketua jabatan boleh mengarahkan mana-mana pegawai yang disyaki untuk menjalani ujian bagi Covid-19 dan tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan ujian.

Antaranya, jika ujian bagi Covid-19 telah dilakukan oleh pengamal perubatan, pegawai yang disahkan positif akan diberi sijil sakit dan boleh menggunakan kemudahan cuti sakit.

“Selain itu, pegawai boleh dikategorikan sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan diberi kebenaran tidak hadir atas Perintah Pengawasan dan Pemerhatian manakala bagi pegawai yang menunggu keputusan ujian Covid-19 pula mendapat pelepasan khas daripada bertugas sehingga keputusan ujian Covid-19 diperoleh.

“Sementara pegawai yang diberi perakuan untuk melakukan kuarantin sendiri di rumah boleh menggunakan pelepasan khas daripada bertugas selama 14 hari, termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am,” menurut garis panduan itu.

Bagaimanapun, ketua jabatan bertanggungjawab memastikan bilangan pegawai yang mencukupi berada di kementerian atau jabatan masing-masing bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

Garis panduan itu juga memaklumkan supaya kementerian atau jabatan mengambil langkah mencegah penularan Covid-19 termasuk melaksanakan imbasan suhu kepada semua pegawai dan pelanggan, menyediakan kemudahan cecair pembasmi kuman, melaksanakan aktiviti pembersihan secara berkala serta mematuhi saranan penjagaan kebersihan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Bagi kementerian atau jabatan yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19, memadai dengan penutupan sementara premis kerajaan bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman di kawasan yang mempunyai kaitan dengan kes Covid-19.

“Kementerian atau jabatan perlu merujuk terus kepada pejabat kesihatan negeri yang berhampiran bagi melaksanakan proses itu,” katanya.

Selain itu, garis panduan tersebut menyatakan bahawa penganjuran sebarang program yang melibatkan warga kementerian atau jabatan wajar ditangguh sepanjang tempoh penularan Covid-19.

Bagaimanapun, bagi program melibatkan pelanggan yang tidak dapat dielak, tindakan wajar seperti mengehadkan pergerakan pelanggan di dalam premis kerajaan, menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan semua pelanggan dan melaksanakan imbasan suhu bagi setiap pelanggan di pintu masuk premis kerajaan perlu diambil.

Semua petugas kaunter atau barisan hadapan pula diwajibkan mengambil langkah melindungi diri dengan dibekalkan dengan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut untuk digunakan semasa bertugas.

– BERNAMA


Pengarang :