Anggota penguat kuasa MDHS memeriksa sisa berbuih di dalam longkang disyaki dibuang kilang membuat sarung tangan di Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 2 Mei 2020. Foto ihsan MDHS
PBTSELANGOR

Buang sisa ke longkang, kilang sarung tangan boleh ditutup

SHAH ALAM, 2 MEI: Sebuah kilang sarung tangan getah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdepan tidakan ditutup selepas dikesan membuang sisa berbuih ke longkang.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, tindakan tersebut boleh mengakibatkan Sungai Guntong tercemar.

“Pemilik diminta membaik pulih kolam rawatan bagi memastikan sisa penghasilan produk tidak dilepaskan ke longkang selain mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar.

“Pemilik diarah menyediakan laporan persampelan sisa sebagai langkah pemantauan berkala MDHS,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976. MDHS akan menarik balik lesen perniagaan dan menutup kilang terbabit jika terus melakukan kesalahan sama.


Pengarang :