BUDAYARENCANA

Calon adiwira

Oleh Hakim Bahaman

 

“BANG, sebenarnya saya sudah menemui cinta. Kerajaan sudah beri lampu hijau, awal Julai nanti kami kahwin.”

Saya menelan kecewa. Saya faham hal jodoh bukan boleh ditahan-tahan. Saya juga begitu, dahulu. Tapi, mengapa setelah kamu bersetuju?

Kali pertama, saya terpandang kelibatmu di kuburan. Kita berpapasan berdekatan pusara A. Waktu itulah, saya mengesan aura dirimu. Ya Tuhan, kamukah penggantinya?

Lekas-lekas saya mencari kamu di media sosial. Saya temukan beberapa gambar kamu di akaun Instagram almarhum. Dari situ saya tahu namamu F. Seorang doktor pelatih di sebuah hospital besar.

Saya mengekori kamu. Sewaktu kamu bersendirian makan tengah hari, saya sampaikan hajat besar saya, “Anak muda, andalah adiwira harapan negara!”

Kamu ketawa. Menurut kamu, saya perlu dirujuk ke Hospital Bahagia. Segera! Barangkali saya berpenyakit grandiositi.

Ah, tugas kamu sebagai doktor sudah cukup mulia. Ya, kamu benar. Para petugas barisan hadapan adalah satria dan serikandi. Menurutmu, kamu tak perlukan mantel dan logo lain di dadamu. Ah, gemulah A juga dulu begitu!

Tiba-tiba riak wajah kamu berubah. Pasta berkuah merah yang kamu makan diletak ke tepi. Teh tarik diteguk sehingga habis. Kamu berkobar-kobar ingin tahu manfaat yang pernah A peroleh.

Sebagai seorang lelaki super, kamu akan dikurniakan kekuatan sepuluh pemuda. Akalmu yang sedia cerdik akan bertambah geliga. Tapi, kamu tetap manusia. Kuasamu bakal lenyap apabila kamu tidak lagi belia. Kamu mengangguk, barangkali lega tanggungjawab ini bukanlah abadi.

“Tapi, katakan saya tidak mahu lagi menjadi superhero?”

“Mati. Bukankah pejuang adatnya terkorban?”

Kamu menelan air liur, “Itu sahaja?”

“Kalau kamu jatuh cinta dan berkahwin. Itu pun akan melenyapkan kuasamu.”

Sekiranya hal-hal ini terjadi, kita perlu mencari adiwira baharu. Semenjak A pergi, negara kehilangan adiwira. Kata orang, mungkin A mencederakan dirinya sendiri. Ada yang berkata A dilanggar kenderaan penyelamat yang dinaikinya.

Katakan apa-apa sahaja, tetap sukar untuk saya percaya. Lebih-lebih lagi, hasil inkues menyatakan terdapat kemungkinan A dipukul dengan dahsyat. Adiwira berjiwa besar seperti A tidak mungkin mengambil jalan dilaknat Tuhan. Saya pasti, malam itu A telah mengotakan ikrar seorang wira.

Tetapi, melepaskan kuasa kerana cinta ada harganya. Seperti kamu, A juga ingin merumahkan keluarga. Malangnya, kematiannya meranapkan impian seorang gadis. Merenggut harapan ibu dan bapa. Kami tidak sempat merekrut hero baharu dan virus Covid-19 pula menggila.

Kes-kes baharu naik mendadak. Wad-wad sementara khusus pesakit Covid-19 dibuka. Pusat saringan baharu diperbanyak. Mesin bantuan pernafasan ditambah. Doktor, jururawat, atendan dan petugas kesihatan bekerja tanpa henti.

Termasuklah kamu. Oleh sebab kamu berstatus pelatih, kamu terpilih sebagai petugas saringan. Jadual kamu empat hari bekerja, satu hari cuti, 12 jam tanpa henti. Mujur kamu sudah punya kuasa luar biasa. Ramadan lepas, kamu berpuasa seolah-olah tiada apa-apa.

Tiba-tiba, kamu muncul di televisyen – ditemuramah secara langsung. Di celah-celah kesibukan, kamu sempat berinovasi. Kontena pemeriksaan ciptaan kamu dan beberapa rakan jurutera dipuji. Saya tersenyum bangga. Kemampuan akalmu, sudah berganda!

Takdir memang tidak pernah silap. Kamu, memang pemilik kuasa yang amanah. Cuma, cepat benar kamu mahu melepaskannya. Kamu belum lagi berhadapan dengan penjahat. Koruptor kecil dan besar belum kamu lawan.

Kamu meminta maaf kerana merahsiakan cinta. Kamu sudah lama mengenali si dia. Kisahnya, si dia dahulu seorang ketua pelajar sekolah perempuan berasrama penuh. Kamu pula pemain ragbi sebuah kolej lelaki. Kalian berjumpa di kursus kepimpinan sekolah berprestasi tinggi seluruh negara. Di situ kamu saling suka kemudian jatuh cinta. Habis sekolah, kalian terjarak. Kamu memilih matrikulasi dan sekolah perubatan dalam negara. Dia pula mendapat biasiswa syarikat minyak untuk ke luar negara. Sekarang, kalian mahu segera bernikah.

Saya tidak boleh memaksa – hanya boleh tersenyum. Menumpang bahagia. Saya cuma mahu kamu tahu satu perkara. Melepaskan kuasa kerana cinta ada harganya. Ada sumpahan perlu kamu galas. Sila bersedia.

“Tiada cara lainkah? Mungkin saya masih boleh memakai kuasa itu. Lagipun, saya sudah berterus terang dengan si dia. Dia sendiri mahu saya meneruskan. Dia berjanji akan menjadi pendukung setia.”

Mujurlah ketika itu kita sedang berbual di sebuah kafe. Mahu saja saya menumbuk kamu. Gila! Kamu sudah memecahkan rahsia. Bukankah seorang adiwira terlindung identitinya?

Kamu jawab selamba, kamu ialah Tony Stark, si Iron Man dan si dia pula Cik Potts. Bukankah si Lois Lane pun tahu rahsia Clark Kent? Saya mencebik.

Kamu akan bernikah di sebelah malam. Pagi hari hahagia itu, saya datang membawa hadiah. Dibungkus elok, diikat dengan reben cantik-cantik. Saya kata, mari kita bersarapan buat kali terakhir. Sebagai mentor dan perantis.

Kamu kata kita akan terus berhubung. Saya menggeleng. Mulai subuh esok, saya bukan lagi mentor. Sumpahan ke atas saya berakhir. Kamu membeliakkan mata. Dahi kamu berkerut.

Saya juga seperti kamu, dulu. Saya melepaskan kuasa ini untuk bernikah dengan wanita yang dicintai. Jangan tanya siapa mentor saya, saya tidak ingat. Atau ingatannya juga mungkin telah terpadam.

Inilah harga yang saya bayar. Membayar cinta dengan cinta. Cinta yang lebih dahsyat. Cinta kepada nusa. Kuasa saya hilang, tapi tanggungjawab saya bertambah.

“Daripada perantis kepada mentor?”

Ya. Perantis pertama saya seorang anggota Komando VAT69. Masih ingat peristiwa berdarah Lahad Datu? Almarhum terkorban dalam peristiwa itu.

Manakala perantis kedua saya seorang gadis. Saya fikir seorang guru tidak akan mati sebegitu cepat. Tapi, saya tersilap. Dia guru berjuang, tekal mendidik di kawasan perindustrian padat lagi tercemar. Sayang, nyawanya direnggut gas beracun dan jerebu. Dia meninggal kelelahan setelah menyelamatkan ratusan pelajar yang sesak nafas.

A, si anggota penyelamat ialah perantis saya yang ketiga. Dia telah berjanji untuk membebaskan saya. Arwah sedia menjadi sang murabbi. Katanya, dia telah menemukan calon pengganti. Cuma ya, peristiwa malam rusuhan itu mengubah segala-galanya.

Kamu terperangah. Lapan jam lagi, kamu bakal bernikah dan memikul tanggungjawab baharu. Kamu akan jadi suami, kemudian ayah. Semua itu bukan peranan main-main. Semuanya menuntut pengorbanan. Kedua-duanya pun wira handalan. Tiba-tiba kamu perlu menjadi mentor. Kamu beritahu yang kamu tidak bersedia.

Saya pujuk kamu supaya bertenang. Barangkali, kuasa itu sendiri enggan melepaskan kita terlalu awal. Takut-takut pemuda berpotensi seperti kamu leka dengan urusan hidup sendiri-sendiri. Jadi, dipilihnya kamu menjadi mentor. Meski nanti tanpa kuasa, amanah mendidik dan memelihara kuasa ini telah jatuh di atas batu jemalamu.

“Tapi, saya masih muda. Masih perlu bimbingan. Ayuh berswafoto, nanti saya pautkan pada akaun Instagram kamu, ‘bang. Supaya saya tak akan lupa!”

“Mustahil!”

Subuh esoknya, kamu cepat-cepat menelefon saya. Katamu, kamu masih berasa perkasa dan geliga. Saya tergelak. Bahkan pagi ini, kamu dapat menghentikan masa.

Eh, kamu masih punya kekuatan super? Kenapa kamu masih dapat mengingati saya? Anehnya, saya pun tidak hilang ingatan. Semuanya masih jelas. Bukankah kita sepatutnya saling melupakan?

“Selidik betul-betul siapa sebenarnya isterimu. Barangkali dia bukan perempuan biasa-biasa!”

 


Pengarang :