Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid ketika sesi sidang media selepas menyampaikan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri Satu di Jabatan Audit Negara pada 24 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amalan tadbir urus korporat TalentCorp kurang memuaskan

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Amalan tadbir urus korporat Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah kurang memuaskan menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1.

Menurut laporan berkenaan TalentCorp didapati masih belum mencapai sepenuhnya objektif penubuhan utama syarikat itu berdasarkan penilaian terhadap aktiviti pengurusan Program Kepulangan Pakar (REP) yang dikendalikannya.

“Ketiadaan Ketua Pegawai Eksekutif sejak Jun 2018 menjejaskan kelancaran aktiviti syarikat. Malah, ketiadaan Jawatankuasa Audit atau fungsi Audit Dalaman sejak penubuhan syarikat pada tahun 2011 hingga kini telah mempengaruhi tahap kawalan dalaman syarikat.

Daripada aspek kewangan pula, TalentCorp didapati masih bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan dan tidak menjana keuntungan sendiri,” menurut laporan itu.

LKAN itu turut mengemukakan beberapa syor bagi membolehkan objektif penubuhan utama TalentCorp dicapai serta memantapkan keupayaan tadbir urus korporat syarikat dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“TalentCorp perlu memastikan agar separuh daripada komposisi Lembaga Pengarah merupakan pengarah berstatus bebas dan mewujudkan Piagam Lembaga Pengarah demi mempertingkatkan amalan tadbir urus korporat,” menurut laporan audit yang dikeluarkan di sini hari ini.

Laporan audit itu mengesyorkan diwujudkan fungsi Audit Dalaman dan Jawatankuasa Audit bagi mempertingkatkan keberkesanan kawalan dalaman dan pengurusan risiko.

Selain itu, TalentCorp disyorkan agar mengkaji semula, merancang dan melaksanakan promosi REP dengan menggunakan pelbagai sumber maklumat termasuk banci populasi dan data kaji selidik tenaga buruh luar negara.

“TalentCorp juga perlu mengkaji semula tatacara operasi piawai (SOP) REP supaya permohonan dapat diproses dengan lebih cekap dan berkesan,” menurut laporan itu.

Laporan audit itu turut mengesyorkan TalentCorp menjalankan pemantauan terhadap peserta REP dengan menyelenggarakan data dan maklumat REP supaya pencapaian objektif program dapat diukur.

REP dipilih untuk diaudit kerana program ini merupakan mandat yang diberikan kepada TalentCorp bertujuan memudah cara kepulangan rakyat Malaysia berstatus pakar dan tinggal di luar negara.

– BERNAMA


Pengarang :