Selangorkini
Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun.
AGENDA NASIONAL

Pengubahan wang haram: Hafarizam dilepas tanpa dibebaskan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun, dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memberitahu mahkamah pihak pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan dan akan memfailkan pertuduhan baharu terhadap Mohd Hafarizam di Mahkamah Sesyen.

“Selepas mendengar permohonan lisan oleh pihak pendakwaan untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap tertuduh dalam kes ini, mahkamah dengan ini memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan yang dijalankan di mahkamah ini.

“Ini bagi membolehkan pendakwaan memfailkan pertuduhan baharu terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwaan. Permohonan bagi saya menarik diri (daripada mendengar kes ini) direkodkan sebagai ditarik balik oleh pihak pembelaan,” kata hakim.

Terdahulu, Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan pertama adalah cacat kerana ia melibatkan dua transaksi pada April dan November 2014.

“Kami harus pisahkan dua transaksi itu kepada pertuduhan baharu. Jadi, kami memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan bagi kedua-dua pertuduhan dan dia akan didakwa dengan segera di mahkamah rendah hari ini dengan pertuduhan yang berbeza,” tambah beliau.

Mohd Hafarizam yang diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican berkata pihak pembelaan akan menarik kembali permohonan mereka supaya hakim menarik diri yang dibuat lebih awal, kerana ia menjadi akademik.

Hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Mohd Nazlan.

Pada 21 Feb tahun lepas, Mohd Hafarizam, 48, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didepositkan ke dalam akaun bank milik firma guamannya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000.00 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

-BERNAMA


Pengarang :