Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Forum perdana, kursus umrah dan haji dibenarkan di masjid, surau

SHAH ALAM, 25 SEPT: Forum perdana serta kursus haji dan umrah kembali dibenarkan di masjid dan surau di Selangor berkuatkuasa semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata keputusan diambil selepas penularan Covid-19 dapat dikawal selain pematuhan kendiri serta tatacara operasi piawai (SOP) jemaah yang hadir pada tahap memuaskan.

“Ini mewajarkan program mengimarahkan masjid dipertingkat, diperluas dan dipelbagaikan mengikut keupayaan masing-masing. Program boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian.

“Bagaimanapun semua masih tertakluk dengan SOP sebelum ini selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata penganjur, jawatankuasa atau penceramah diminta mengingatkan jemaah supaya mematuhi SOP di awal program.

“Makanan perlu dibungkus untuk jemaah bawa pulang dan makanan secara hidang masih tidak dibenarkan,” katanya.

Program lain turut dibenarkan adalah pengajian bersijil dan bermodul, kelas tambahan akademik remaja, program Daurah Bedah Kitab, ceramah khas serta diskusi, program remaja ketika cuti persekolahan dan mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat khas masjid dan surau.

Kiosk, koperasi dan kedai mini yang ada dalam kawasan berkenaan juga dibenarkan kembali beroperasi.


Pengarang :