Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen PRN Sabah pada 26 September 2020. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

KEADILAN pertahan dua kerusi, undi naik dua kali ganda di DUN Sook

SHAH ALAM, 27 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah kerana berjaya mempertahan dua kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya berkata parti itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api menerusi calonnya Datuk Christina Liew selain mampu memperoleh peningkatan undi dua kali di DUN Sook milik Raymond Ahuar.

“Tahniah diucapkan kepada Christina selaku pengerusi KEADILAN Sabah di atas kejayaan mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada PRU14.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan parti Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, DAP (6) dan UPKO yang berjaya memenangi satu
kerusi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar berkata partinya menghormati keputusan dibuat rakyat Sabah yang menyaksikan Warisan Plus tumbang serta berharap pembentukan kerajaan negeri baharu dilakukan dengan aman, bijaksana dan penuh
hikmah.

“Saya pohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan berkaitan Covid-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.

“Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan dan saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh tatacara operasi piawai (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini,” katanya.

Pada PRN Sabah semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya memperoleh majoriti selepas meraih 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.


Pengarang :