Pemandangan dari udara sekitar bandar Chukai, Kemaman yang dilanda banjir ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir musnahkan barang rumah, mangsa perlu bina hidup baharu

CHUKAI, 9 JAN: Mangsa banjir di Kampung Batu 10, Pasir Gajah, di sini bukan sahaja perlu menggantikan barangan rumah yang rosak tetapi ada antara mereka bagaikan perlu membina hidup baharu sepenuhnya.

Kebanyakannya seolah-olah masih tidak percaya dengan kemusnahan yang berlaku sehinggakan terfikir untuk berpindah ke lokasi lain, namun terpaksa membatalkan niat disebabkan kekangan kewangan.

Roziah Shamsudin, 40, yang ditemui di rumahnya berkata kesemua barangan rumahnya musnah disebabkan air banjir yang naik sehingga ke paras bumbung rumahnya.

Katanya, banjir yang melanda kali ini agak mencemaskan hingga beliau serta suami Zaharudin Mohammad, 47, dan lima anak mereka terpaksa berpindah pukul 7 pagi Selasa lepas dengan menaiki sampan.

“Petang ini, setelah air surut ke paras pinggang, saya dan keluarga pulang sekejap untuk melihat keadaan rumah…memang terkejut apabila buka sahaja pintu, lihat semua barang terapung.

Mangsa banjir Zaharudin Mohammad, 47, mengangkat barangan yang ditenggelami banjir untuk diletakkan di tempat tinggi ketika tinjauan di Kampung Batu 10 Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Saya reda dengan ujian ini dan akan membaiki bahagian rumah yang rosak serta membeli barangan dan kelengkapan rumah sedikit demi sedikit, jika ada kemampuan,” katanya.

Roziah berkata sejak menetap di situ empat tahun lepas, banjir kali ini merupakan yang paling teruk, malah beliau menjadi orang pertama yang mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pasir Gajah.

Katanya, kebiasaan pada musim banjir, air akan surut antara dua hingga ke tiga hari namun berdasarkan keadaan cuaca dan hujan yang masih berlaku, beliau menjangkakan akan lebih lama tinggal di PPS tersebut.

“Syukurnya pada awal pagi itu, saya dan suami masih sempat menyelamatkan anak-anak, dokumen penting dan 10 ekor kambing peliharaan dengan menaiki bot untuk dibawa ke tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga Zahaida Mohammad, 44, berkata beliau mengalami kerugian hampir RM3,000 apabila gerai makan yang diusahakan sejak dua tahun lepas tenggelam dan banyak peralatan rosak serta dibawa arus.

“Saya hanya tunggu air surut sedikit dan akan menaiki bot fiber untuk menjejak barangan yang hanyut.

“Biasanya peralatan seperti kerusi dan meja akan dapat dibersihkan kembali. Saya harap sangat ia tak hanyut lebih jauh…mungkin tersangkut di mana-mana lokasi dalam 300 hingga 500 meter dari kampung ini sahaja,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :