AGENDASUKANKINI

Lontar peluru: Lima bulan yang genting bagi Muhammad Ziyad

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Jaguh paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli menyifatkan tempoh lima bulan akan datang merupakan saat yang genting dalam kariernya, sepanjang berkecimpung dalam dunia sukan.

Bekas juara dunia itu yang berada dalam misi mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos ini, berdepan cabaran untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya itu di sebalik gangguan pandemik Covid-19 sejak setahun lalu.

Muhammad Ziyad yang sedang menjalani latihan seorang diri di rumahnya sejak awal tahun ini susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan berkata, sesi dijalankannya itu dilihat kurang efektif berbanding latihan di Bukit Jalil yang dilengkapi kemudahan lengkap, selain mendapat bimbingan jurulatihnya.

“Buat masa sekarang saya hanya berlatih sendiri di rumah, namun tidak berapa konsisten. Saya cukup risau untuk beraksi di Tokyo nanti, saya harap dapat fokus dan mengejar semula latihan untuk lima bulan akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Ziyad menarik nafas lega apabila dijangka melapor diri untuk menjalani sesi latihan di Bukit Jalil, seawal minggu hadapan.

Atlet berusia 30 tahun yang juga dalam misi untuk cuba memecahkan rekod dunia pada temasya di Tokyo itu mengakui agak gusar, sekiranya prestasinya merudum ekoran tidak berupaya menyertai sebarang saingan kompetitif di peringkat antarabangsa, sejak 2019.

Sehubungan itu beliau berharap, jurulatih Majlis Paralimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan membantunya, mencari kejohanan yang sesuai untuk disertai agar impiannya untuk ‘memanaskan badan’ sebelum turun berjuang di Tokyo nanti, kembali bersinar.

Muhammad Ziyad mengesahkan tempat ke Tokyo selepas merangkul pingat perak dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai dengan catatan 17.03 meter (m).

Beliau adalah pemegang rekod dunia kategori itu dengan catatan 17.29m ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, dengan memadam rekod terdahulu 16.84m miliknya yang dilakukan di Sukan Paralimpik Rio.

Sementara itu, Muhammad Ziyad teruja apabila mendapat habuan sebuah rumah daripada pihak Naza Corporation Holdings baru-baru ini, yang menghargai keringatnya mengharumkan nama negara di Sukan Paralimpik Rio, Brazil lima tahun lepas.

“Saya cadang mahu lihat rumah baharu ini dalam masa terdekat, saya rancang mahu tinggal di sini pada setiap hujung minggu selepas ini,” katanya yang sudah memiliki sebuah rumah di Bangi, Selangor.

Selain beliau, dua lagi pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m T36 (celebral palsy) dan Abdul Latif Romly acara lompat jauh T20 (kurang upaya intelektual), diraikan dalam majlis penyerahan kunci rumah yang dijalankan secara maya pada Rabu.

– BERNAMA


Pengarang :