Selangorkini
Pegawai JAS Selangor memasang alat sita ke atas salah satu mesin yang menyebabkan pencemaran di kilang sarung tangan getah di Beranang, Hulu Langat pada 1 Jun 2021. Foto JAS Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kilang sarung tangan getah cemar longkang awam ditutup

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah kilang sarung tangan getah yang dibenarkan beroperasi dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh diarah tutup selepas dikesan melepaskan sisa buangannya ke longkang awam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata dalam pemeriksaan di premis di Beranang, Hulu Langat itu pihaknya mendapati air cucian dan bilasan bahan berkaitan bercampur asid telah dibuang ke saliran berhampiran tanpa dirawat.

“Kilang itu sepatutnya merawat sisa tersebut mengikut Sistem Pengolahan Efluen tetapi tidak melakukannya dan ini boleh menyebabkan risiko pencemaran di punca rawatan air untuk kegunaan ramai.

“Pemeriksaan juga mendapati premis berkaitan tidak mempunyai sistem rawatan air yang wajib dibangunkan sebelum dibenarkan beroperasi,” kata Nor Aziah Jaafar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyita peralatan di kilang itu dan sudah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menyiasat dari aspek pelesenan.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atas pelbagai kesalahan antaranya tidak merawat sisa kilang dan tiada sistem rawatan,” katanya.

Beliau berkata JAS Selangor akan meneruskan pemeriksaan di kilang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP menyeluruh bagi memastikannya mengikut peraturan dan tidak menyebabkan pencemaran.

 


Pengarang :