AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Masak ala kadar, tidak sedap punca ramai isteri dikasari suami

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kegagalan isteri menghidangkan juadah enak kepada suami antara aduan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Selangor sepanjang Januari hingga September tahun lalu.

Meskipun kedengaran seperti tidak masuk akal namun rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mendapati 20 hingga 30 peratus daripada 254 kes keganasan rumah tangga yang diadu membabitkan isu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki berkata kekurangan bekalan makanan menjadi punca kebiadaban itu berlaku berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada kes diterima apabila si suami mengamuk sehingga sanggup membaling pinggan ke arah si isteri gara-gara makanan yang dimasak tidak sedap dan ala kadar dengan hanya berlaukkan telur goreng.

“Memang tidak logik si suami berbuat demikian sedangkan mereka yang sepatutnya bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada ahli keluarga. Oleh kerana terdesak serta kelaparan, dia (suami) tahu marah sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata aduan sampingan lain yang turut dilapor membabitkan masalah kewangan, dibelenggu hutang tinggi, kehilangan pekerjaan dan kesukaran memohon bantuan disediakan kerajaan.

“Kita mengenal pasti majoriti mereka yang membuat aduan berkaitan tidak memiliki tahap pendidikan tinggi. Mungkin ia biasa bagi kita, tetapi menjadi masalah besar buat mereka,” katanya lagi.


Pengarang :