Pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Ubat, lampin pakai buang dan susu bayi boleh dibawa ke PKRC Serdang

SHAH ALAM, 16 JULAI: Waris hanya dibenarkan menghantar tiga jenis barang kepada pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Serdang 2.0.

Barang tersebut meliputi ubat-ubatan untuk penyakit kronik, lampin pakai buang bayi dan dewasa serta susu bayi, kata pengarahnya.

Dr Shahabuddin Ibrahim memaklumkan keputusan dibuat melalui mesyuarat penyelarasan pengaktifan Maeps 2.0 Bilangan 59/2021 hari ini.

“Pesakit yang dirujuk ke PKRC Serdang perlu membawa kelengkapan sebelum ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

“Senarai barang keperluan yang perlu dibawa antaranya pakaian selesa untuk minimum 10 hari, tuala dan kelengkapan mandian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan individu terbabit perlu menjaga semua barang yang dibawa dan pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kehilangan.

Penghantaran barang dibenarkan boleh dibuat dengan mengisi borang menerusi pautan https://docs.google.com/forms/u/1/d/e/1FAIpQLSdYlP8jKUt8iX8Rd19kNQYYsacw1BZk0OuLAVeELt4VOLljAQ/viewform?usp=sf_link.


Pengarang :