Petugas kesihatan menunjukkan vaksin yang telah disukat sebelum disuntik kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sementa di Hotel De Palma Shah Alam pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Doktor: Bertenang, elak amal petua pelik ketika suntikan vaksin

SHAH ALAM, 11 OGOS: Masyarakat tidak perlu mengamalkan sebarang petua bagi mengurangkan rasa sakit ketika mengambil vaksin, kata seorang pegawai perubatan.

Dr Ariffudin Tamam turut meminta orang ramai tidak takut atau bimbang kerana suntikan pelalian itu tidak memberi kesakitan melampau dan berpanjangan.

“Ada peserta yang terus sapu minyak panas untuk hilangkan sakit. Kemudian dia persoalkan kenapa vaksin menyebabkan dia panas sedangkan ia berpunca daripada perbuatan sendiri.

Dr Ariffudin Tamam. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Oleh itu, jangan rasa takut. Jangan amalkan apa-apa petua atau ikut ‘khabar angin’ yang tidak terbukti kesannya kerana rasa sakit sekejap sahaja. Tidak berpanjangan dan memudaratkan,” katanya ditemui di Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Dr Ariffudin yang menyuntik lebih 2,000 individu sejak Mac berkata perasaan takut dan gerun perkara biasa, namun orang ramai perlu bertenang serta mengikut arahan pegawai perubatan.

“Ya semua takut. Lelaki atau perempuan sama sahaja. Ramai yang kena pujuk beberapa minit sebelum bagi kebenaran untuk kita suntik.

“Ada peserta lelaki berperwatakan ganas, bertatu namun ketika disuntik jadi penakut dan kena pujuk. Sebenarnya lepas proses suntikan selesai. ramai yang cakap tak rasa sakit,” katanya.


Pengarang :