Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang pada 2 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB harap kerajaan baharu stabil, tumpu perangi Covid-19

SHAH ALAM, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap kerajaan yang stabil dapat diwujudkan bagi memerangi pandemik Covid-19.

“Selepas beberapa krisis kepimpinan, kita harap dapat mewujudkan kerajaan yang stabil sebagaimana titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang mana harus mengambil kira semua pihak.

“Saya harap semua pimpinan parti dapat duduk semeja dan perdana menteri harus mewujudkan kabinet inklusif membabitkan semua pihak supaya tiada yang terpinggir,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Amirudin juga mengingatkan perdana menteri baharu supaya tidak meminggirkan mana-mana pihak selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor itu juga berharap kerajaan baharu menerapkan amalan kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan politik negara dicapai.

“Saya anggap pada waktu ini kerajaan perpaduan adalah salah satu formula ampuh untuk memastikan kestabilan kita ketika berdepan pandemik dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Seri Paduka Baginda mengingatkan ketua dan wakil parti-parti politik yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan suasana.

Baginda dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan pandangan kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.


Pengarang :