Penyelaras DUN Sungai Air Tawar, Dato’ Seri Rahim Ahmad (tengah) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada wakil persatuan penduduk untuk disampaikan kepada keluarga memerlukan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 17 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih bantuan makanan kepada penduduk DUN Sungai Air Tawar

SABAK BERNAM, 17 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan 250 bantuan makanan kepada penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan bakul makanan itu diberikan melalui ketua-ketua kampung sebelum diagih kepada penduduk.

“Setakat ini lebih RM800,000 diperuntuk untuk bantuan bakul makanan sejak Januari dengan kerjasama parlimen, DUN dan badan bukan kerajaan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

“Bantuan diberikan tidak terhad kepada bakul makanan sahaja tetapi makanan basah seperti ayam, ikan dan daging. Menerusi cara ini kita dapat membantu rakyat ketika pandemik, malah sehingga kini MBI masih terima banyak permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Sementara itu, Ahmad Azri memaklumkan sejumlah RM300,000 telah diperuntuk untuk baucar barangan runcit diagih bersama 150 ahli majlis.

“Sumbangan ini masih diteruskan dan buat masa ini seramai 6,000 individu menerima manfaat baucar bagi fasa satu dan dua,” katanya.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan agihan bekalan bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak lebih daripada 48 jam.


Pengarang :