Selangorkini
Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama lima Ahli Dewan Negeri (ADN) yang menerima kit ujian kendiri Covid-19 di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat kenal pasti golongan sasar terima kit ujian percuma

PETALING JAYA, 3 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima kit ujian kendiri Covid-19 akan mengenal pasti golongan sasar yang layak mendapat barangan secara percuma itu.

Wakil rakyat Seri Setia berkata pihaknya menggunakan khidmat Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) bagi mendapat maklum balas mengenai individu yang mempunyai gejala wabak.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Suka akan mengenal pasti rumah di mana penghuninya mempunyai simptom Covid-19 dan kita akan bantu edarkan kit ini kepada mereka.

“Sebagai contoh, jika seorang dari sebuah rumah itu positif sudah tentu penghuni lain juga mungkin mengalami keadaan sama, kalau lima orang kita beri lima kit kepada mereka,” kata Halimey Abu Bakar, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata fokus pusat khidmatnya ketika ini adalah golongan berpendatan rendah yang tinggal di kawasan rumah pangsa.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setiap keluarga yang memperoleh kit ini kita akan daftar nama dan alamat jadi mereka tidak akan mengambilnya dengan kuantiti banyak serta dapat mengelak kekurangan.

“Saya berharap pemberian percuma ini tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang mungkin berniat untuk menjual kerana ia tidak akan mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Kerajaan Negeri hari ini mulai mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 yang akan diberikan kepada rakyat secara percuma.

EXCO Kesihatan Awam berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang dengan masing-masing menerima 1,000 unit.


Pengarang :