Selangorkini
Siti Zahidah Mu’al, 26 ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) ke-23 di Pusat Konvensyen Kuis, Kajang pada 1 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Cintai bidang pengajian rahsia kejayaan penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar

KAJANG, 1 DIS: Mencintai bidang pengajian dan fokus antara rahsia kejayaan penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kali ke-23 hari ini.

Siti Zahidah Mu’al, 26, anak kelahiran Sarawak berkata faktor lain kejayaan beliau ialah kerap membaca al-Quran, tidak meninggalkan solat wajib dan kerap melaksanakan solat sunat.

“Apabila waktu belajar saya akan fokus dan paling penting kita harus cintai bidang yang kita belajar supaya menjadi seronok dan tidak bosan,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber Insan.

Tidak pernah menyangka dipilih menerima anugerah istimewa itu, Siti Zahidah bersyukur kerana pengorbanan ibu bapanya mengumpul wang untuk menampung pelajaran di Kuis tidak sia-sia.

“Saya berasa amat terharu dan bersyukur apabila impian ibu bapa untuk melihat saya berjaya akhirnya tercapai. Mereka berusaha mengumpul wang untuk menampung pembelajaran saya di sini.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang tidak putus memberi dorongan dan sokongan,” katanya kepada SelangorKini.

Siti Zahidah kini bertugas sebagai guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah dekat Sarawak menasihatkan pelajar sentiasa bersabar dengan ujian dan tidak berputus asa meraih kejayaan.


Pengarang :