Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu (dua, kiri) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) menghadiri ceramah mega di Kota Iskandar baru-baru ini untuk berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

KEADILAN akur keputusan Johor, rangkul kekuatan hadapi PRU

SHAH ALAM, 13 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Tahniah kepada Barisan Nasional atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor. KEADILAN akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor,” kata presiden KEADILAN dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Namun, ketua pembangkang itu berkata beliau khuatir dengan trend peratusan kecil keluar mengundi yang disifatkannya boleh mengugat proses demokrasi.

Dalam pada itu, beliau merakam penghargaan kepada semua pendukung dan jentera KEADILAN serta Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berhempas pulas menggerakkan kempen sepanjang PRN Johor.

Keputusan PRN Johor semalam menunjukkan BN menang 40 kerusi daripada 56 kerusi dipertandingkan, HARAPAN (11 kerusi), Perikatan Nasional (tiga), KEADILAN (satu) dan MUDA (satu).


Pengarang :