Pengguna perlu memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sekiranya ingin meneruskan perjalanan ke destinasi lain, selain plaza tol di Tambak Johor dan Linkedua.
AGENDA NASIONAL

Tol percuma: Pengguna perlu sentuh kad Touch ‘n Go di plaza tol untuk rekod data

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua), masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go pada pengimbas di lorong tol, bagi membolehkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merekod data trafik.

Pengguna di kedua-dua plaza tol berkenaan boleh menikmati pengecualian bayaran tol selama seminggu dari 1 April hingga 7 April 2022, seperti diumum kerajaan baru-baru ini.

PLUS dalam kenyataan menyatakan, pengguna juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan sempadan yang ditetapkan, serta memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sekiranya ingin meneruskan perjalanan ke destinasi lain, selain kedua-dua plaza tol berkenaan.

PLUS juga telah bersiap siaga dengan menambah bilangan petugas khidmat pelanggan di kedua-dua plaza tol di pintu negara itu, untuk memberi bantuan kepada pelanggan yang memerlukan pertolongan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata pihaknya mengalu-alukan kepulangan warga Malaysia dan ketibaan rakan-rakan dari Singapura, dengan tangan yang terbuka.

“Pada masa sama, PLUS terus komited untuk menyediakan perjalanan yang selamat, lancar dan satu pengalaman yang menyeronokkan, bagi pelanggan lebuh raya yang memasuki Malaysia,” katanya.

Tambahnya PLUS menjangkakan akan berlaku sedikit lonjakan trafik di beberapa laluan di lebuh raya, dengan pembukaan semula sempadan laluan darat di samping ketibaan bulan Ramadan, dan telah mengadakan pelbagai persediaan rapi bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat dan lancar.

– BERNAMA

 


Pengarang :