Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Bersihkan sekitar rumah sebelum cuti raya, elak jangkitan denggi

SHAH ALAM, 27 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta orang ramai supaya memastikan persekitaran bersih sebelum meninggalkan kediaman masing-masing ketika cuti sempena Aidilfitri.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata berdasarkan rekod lalu, kes demam denggi sering meningkat selepas cuti perayaan kerana persekitaran rumah yang tidak bersih.

“MBSA menasihatkan penduduk Shah Alam supaya memastikan rumah dalam keadaan bersih dan tidak meninggalkan bekas yang boleh menakung air hingga menggalakkan pembiakan nyamuk aedes seperti kolah mandi, tangki air, perangkap semut dan pasu bunga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Shahrin mencadangkan beberapa langkah pencegahan iaitu menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan di luar rumah; memastikan tangki air, kolah dan pasu bunga tidak menjadi tempat pembiakan jentik-jentik dan meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di dalam bekas yang boleh menakung air.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan ubat penghalau nyamuk ketika berada di luar rumah bagi mengelak jangkitan nyamuk dan segera mendapatkan rawatan jika mengesyaki dijangkiti denggi,” katanya.

Beliau berkata, MBSA amat serius dalam menangani masalah denggi dan mengharapkan kerjasama orang ramai bagi memastikan Shah Alam bebas daripada wabak penyakit itu.

Shahrin turut memaklumkan bilik gerakan Pantas, MBSA akan beroperasi selama 24 jam ketika musim perayaan dan orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan boleh menghubungi talian 03 55105811.


Pengarang :