BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Petanda muncul malam seribu bulan

Umat Islam sering diingatkan kelebihan malam lailatulqadar apabila Ramadan memasuki 10 malam terakhir. Malam istimewa itu hadiah untuk mereka yang beribadah, diberi ganjaran menyamai seribu bulan.

Malah, keajaibannya disebut secara khusus dalam al-Quran
menerusi surah al-Qadr. Justeru umat Islam disaran memperbanyakkan ibadah pada tempoh berkenaan sebagai usaha mendapatkan berkat malam penuh kemuliaan itu.

Wartawan Nadiah Zamlus menemu bual Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir mengenai fadilat, persiapan ibadat dan tanda lailatulqadar pada 12 April.

Boleh jelaskan maksud lailatulqadar?

Lailatulqadar merupakan perkataan berasal daripada bahasa Arab. Lailah bermaksud malam dan al-Qadr bermaksud ketetapan dan juga bermaksud kemuliaan.

Gabungan dua perkataan ini merujuk kepada satu malam yang Allah SWT kurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW pada akhir Ramadan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Qadr ayat satu hingga lima, bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar? Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”

Berdasarkan surah di atas, ada beberapa peristiwa penting pada lailatulqadar iaitu:

– al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia)

– beribadah pada malam tersebut lebih baik dari seribu bulan

– Malaikat turun ke bumi dengan jumlah yang sangat besar di antaranya adalah malaikat Jibril AS, para malaikat turun membawa rahmat serta membawa takdir yang telah ditentukan oleh Allah untuk sekalian makhluk

Mengapa lailatulqadar istimewa berbanding malam lain?

Malam tersebut al-Quran diturunkan sekali gus daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia). Setelah itu, al-Quran diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun.

Selain itu, istimewanya malam ini juga adalah kerana ia lebih baik daripada seribu bulan. Setiap amal ibadah yang dilakukan oleh umat Islam akan mendapat ganjaran seakan beribadah selama seribu bulan iaitu selama 83 tahun 4 bulan. Lebih-lebih lagi, umur umat terdahulu adalah sangat panjang dibandingkan dengan umur umat Nabi Muhammad.

Sebagai contoh, Nabi Nuh telah dikurniakan oleh Allah umur selama 950 tahun. Akan tetapi, umur umat Nabi Muhammad sekitar lebih kurang 60 ke 70 tahun sahaja. Maka, dapat dilihat di sini bahawa lailatulqadar ini adalah kurniaan yang sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad. Mereka yang dikurniakan malam ini akan menerima ganjaran seakan-akan beribadah seumur hidup.

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir

Antara keistimewaan malam yang mulia ini berbanding dengan malam-malam yang lain, Allah menjanjikan kepada mereka yang menghidupkan lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu. Ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah RA daripada Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa menghidupkan lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di samping itu, pada malam tersebut malaikat Jibril akan turun bersama malaikat lain untuk membawa rahmat serta keberkatan ke atas orang yang menghidupkan malam tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat empat bermaksud:

“Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.”

Berdasarkan ayat di atas, dapat disimpulkan peristiwa pada lailatulqadar menggambarkan kebaikan yang Allah limpahkan kepada mereka yang bangun menghidupkan malam tersebut. Keistimewaan itu digambarkan dengan turunnya malaikat. Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa turunnya malaikat adalah kerana malam tersebut penuh dengan keberkatan yang melimpah ruah.

Adakah kita boleh mengetahui waktu terjadinya lailatulqadar?

Manusia tidak akan tahu waktu tepat berlakunya lailatulqadar. Namun, terdapat beberapa hadis mengatakan bahawa ia terjadi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Antaranya hadis diriwayatkan daripada Aisyah RA bermaksud:

“Adalah Rasulullah apabila masuk sepuluh akhir (Ramadan), Baginda akan menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan dengan isteri-isterinya.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah juga menyebut lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadan iaitu pada malam ke-21, 23, 25, 27 atau 29. Ini merupakan pandangan jumhur ulama berdasarkan kepada hadis diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Carilah lailatulqadar pada malam ganjil di sepuluh akhir bulan Ramadhan.” (Riwayat al-Bukhari)

Seterusnya, lailatulqadar ini hanya akan berlaku pada waktu malam dan pada bulan Ramadan sahaja seperti yang dinyatakan di kebanyakan hadis Rasulullah SAW. Tambahan pula, perkataan lailatulqadar itu sendiri dalam bahasa Arab menunjukkan waktu malam.

Bagaimanapun, terdapat banyak hikmah mengapa malam yang mulia ini dirahsiakan Allah SWT. Hikmahnya supaya umat Islam sentiasa berusaha dan bercita-cita untuk beribadat sepanjang malam khususnya pada sepuluh malam terakhir. Jika malam tersebut diketahui, maka dibimbangi umat Islam akan rajin beribadat pada malam tertentu sahaja dan mengabaikan malam yang lain.

Adakah tanda lailatulqadar atau keistimewaannya diberi kepada orang tertentu?

Sesiapa sahaja layak mendapatkan lailatulqadar dengan izin Allah SWT tanpa mengira pangkat dan darjat seseorang. Akan tetapi, seseorang itu mestilah sentiasa berusaha memperbanyakkan ibadahnya kepada Allah sebagai persediaan untuk memperoleh malam tersebut. Melihat tanda-tanda hadirnya adalah sesuatu yang tidak mustahil. Tetapi kebanyakannya adalah pada keesokan harinya.

Selalu diceritakan kejadian aneh berlaku pada malam berkenaan. Contohnya seperti pokok tunduk seakan manusia sedang rukuk ketika solat. Ada juga menceritakan suasana pada malam berkenaan begitu sayu, tidak seperti malam- malam lain. Pandangan?

Kejadian aneh yang berlaku tidak semestinya ada kaitan dengan lailatulqadar. Boleh jadi disebabkan faktor semulajadi atau perbuatan manusia atau faktor lain. Namun berdasarkan hadis diriwayatkan, dapat diketahui lailatulqadar akan meninggalkan tanda tersendiri seperti:

– langit pada malam tersebut akan nampak bersih dan tidak nampak awan sedikit pun. Suasana malam sangat tenang dan sunyi, tidak dingin dan tidak juga panas sebagaimana hadis diriwayatkan daripada Ubadah bin al-Somit RA bahawa Rasulullah bersabda dan bermaksud:

“Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi dengan tenang, udaranya nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak pula terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.” (Riwayat Ahmad)

– kebiasaannya seseorang yang betul-betul menginginkan lailatulqadar akan bermimpi dan merasakan malam tersebut sebagaimana peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Hadis diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Rasulullah bersabda dan bermaksud:

“Sesungguhnya aku pernah diperlihatkan (bermimpi) lailatulqadar. Kemudian aku dibuat menjadi lupa dan malam itu pada sepuluh malam terakhir. Malam itu malam yang mudah, indah, tidak panas mahupun dingin.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

– cahaya matahari di keesokan paginya adalah tidak terik atau meredup. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda dan bermaksud:

“Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.” (Riwayat Muslim)

Apakah amalan yang perlu dipersiapkan untuk mendapat malam kemuliaan?

Persiapan awal yang boleh dilakukan oleh umat Islam yang ingin mencari lailatulqadar adalah dengan membiasakan diri dengan ibadat sunat. Lebih-lebih lagi ibadat yang dikhususkan hanya pada Ramadan antaranya sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendirikan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam Al-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya Syarah Al- Nawawi ‘Ala Muslim mengatakan bahawa qiyam Ramadan adalah solat sunat tarawih. Oleh itu, umat Islam yang ingin membuat persiapan mencari lailatulqadar perlu memberi perhatian terhadap ibadat solat sunat tarawih. Ia bertepatan dengan sepotong hadis diriwayatkan daripada Abu Zarr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda dan bermaksud:

“Barangsiapa yang bersolat dengan imam sehingga (imam) selesai ditulis baginya solat sepanjang malam.” (Riwayat Ahmad)

Antara amalan lain adalah memperbanyakkan membaca al-Quran kerana Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya menyebut bahawa Ramadan mendapat kemuliaannya kerana pada bulan ini diturunkan al-Quran. Oleh itu, umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai persediaan bertemu dengan malam yang mulia ini.

Doa penting semasa lailatulqadar?

Doa yang paling utama untuk dibaca apabila bertemu dengan lailatulqadar adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA:

“Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, pada pandanganmu sekiranya aku tahu malam itu adalah lailatulqadar apakah yang harus aku ucapkan. Rasulullah SAW bersabda: Bacalah (doa ini) Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Pemurah, Engkau mudah memberikan keampunan, maka ampunilah aku.” (Riwayat at-Tirmizi)

Siapa yang layak mendapat keberkatan malam istimewa ini?

Keberkatan malam istimewa ini diberikan kepada orang-orang yang dipilih oleh Allah tanpa didedahkan kepada umum senarai penerimanya. Namun umat Islam perlu positif dengan menggandakan usaha dan ikhtiar di samping memperbanyakkan doa kepada Allah semoga diberi peluang untuk bertemu dengan lailatulqadar yang istimewa itu. Kerana semua individu muslim mempunyai peluang dan kelayakan yang sama.

Apa beza antara nuzul al-Quran dan lailatulqadar memandangkan kedua-duanya berlaku dalam Ramadan?

Kisah penurunan al-Quran sangat berkait dengan Ramadan, hal ini direkodkan dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Ibnu Kathir dalam tafsirnya membawa pandangan Ibnu Abbas RA bahawa al-Quran diturunkan secara 2 fasa iaitu:

– fasa pertama: turun secara keseluruhan dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia)

– fasa kedua: turun secara berperingkat dari Baitul Izzah kepada Rasulullah

Keistimewaan al-Quran ini dengan peristiwa penurunannya sangat berkait rapat dengan lailatulqadar, maka kelebihan lailatulqadar pula diberi kepada seluruh umat Islam. Maka tiada beza yang ketara di antara kedua-duanya melainkan penurunan itu sudah tidak berlaku.

Adakah Dato’ sendiri pernah mengalami malam istimewa lailatulqadar ini?

Wallahu a’lam. Saya doakan kita semua diberikan rezeki bertemu dan beribadah pada malam al-Qadar.


Pengarang :