Suasan di Surau Al-Husna ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais larang kutipan derma guna nama Islam di rumah ibadat

SHAH ALAM, 6 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang mana-mana pihak memungut wang atau sumbangan menggunakan alasan kepentingan Islam atau umatnya di rumah ibadat.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata larangan kutipan di masjid dan surau itu termasuk kepada pemilik sekolah swasta Islam, pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik.

Jelasnya aktiviti hanya dibenarkan sekiranya mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Selangor mengikut Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak berkenan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam. Baginda bimbang ada pihak menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi, kekuasaan dan pengaruh selain digunakan untuk menyeleweng ajaran Islam sebenar.

“Justeru orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat sumbangan untuk pastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata pihak yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengutip khairat untuk mana-mana pihak, hanya dibenarkan untuk manfaat sendiri. Wang diterima atau sumbangan sah hendaklah diaudit dan dilaporkan kepada Jais.

“Orang awam boleh menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor diuruskan Jais,” katanya.


Pengarang :