Seramai 150 keluarga berpendapatan rendah menerima bakul makanan dan perkakas dapur sempena ulang tahun ke-16 Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Jun 2022. Foto Norrasyidah Arshad/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

150 keluarga terima bakul makanan, perkakas dapur sempena ulang tahun MBPJ

PETALING JAYA, 18 JUN: Seramai 150 keluarga kurang mampu dan berpendapatan rendah menerima bakul makanan sempena sambutan ulang tahun ke-16 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Isnin ini.

Datuk Bandar Azhan Md Amir berkata sumbangan bernilai RM130 setiap keluarga itu sebagai inisiatif mengurangkan beban belanja selepas terkesan teruk akibat wabak Covid-19.

“Penerima merupakan golongan terlantar, ibu tunggal, warga emas, ramai tanggungan dan berpendapatan bawah RM2,000. Hari ini kita  serahkan kepada 22 penerima dan baki akan diselesaikan minggu depan.

“Sumbangan termasuk alat elektrik dan perkakas dapur menunjukkan keprihatinan MBPJ dalam menyejahterakan penduduk serta dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama penduduk,” katanya selepas menyerahkan bantuan di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini, hari ini.

Beliau berkata sambutan tahun ini dengan tema ‘Merangsang Ekonomi, Mensejahtera Komuniti’ pihaknya turut menganjurkan 33 acara lagi yang semuanya berkisar ekonomi rakyat.

“Bila ekonomi seseorang bagus, ia sekali gus dapat mensejahterakan keluarga seterusnya komuniti. Jadi kita mahu ekonomi setiap individu kukuh,” katanya.


Pengarang :