EXCO Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau (tengah) melawat kaunter syarikat yang menyertai Jelajah Jobcare anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dan Perdasama di Tanjung Karang pada 11 Jun 2022. Foto Facebook UPPS
AGENSISELANGOR

Sektor perkilangan tawar pelbagai peluang kerja kepada generasi muda

TANJUNG KARANG, 12 JUN: Generasi muda diminta tidak hanya bergantung dengan e-panggilan sebagai punca pendapatan, sebaliknya menceburi sektor perkilangan yang menawarkan pelbagai pekerjaan.

Yang dipertua Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Selangor berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh sektor perkilangan kini berdepan masalah kekurangan pekerja kerana ramai memilih berkhidmat dalam bidang e-panggilan.

“Sektor e-panggilan tidak selamanya kekal kerana operator pengendali tidak menyediakan bayaran seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan memberi risiko sekiranya berlaku kemalangan.

“Jadi, kita hendak tekankan bahawa jangan lihat faedah jangka masa pendek kerana sebenarnya ia hanya merugikan pada masa depan memandangkan banyak peluang disediakan oleh sektor perkilangan,” kata Mohd Azamanizam Baharon.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor yang dirasmikan EXCO Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau di Dewan Dato’ Hormat, Tanjung Karang di sini semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden 1 Perdasama turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana bekerjasama membantu anak muda mendapatkan kerja menerusi program tersebut.

“Program dijalankan secara hibrid selama dua bulan sehingga 31 Julai. Mereka boleh melayari laman sesawang www.jobs4u.com.my untuk mencari pekerjaan yang sesuai,” katanya.


Pengarang :