Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong memberi penerangan kepada penduduk ketika Program Bingkas anjuran DUN Bukit Lanjan di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pusat khidmat permudah Orang Asli daftar program bantuan Kerajaan Negeri

PETALING JAYA, 30 JULAI: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Lanjan hari ini membuka kaunter pendaftaran Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) untuk kemudahan penduduk Kampung Orang Asli Desa Temuan.

Wakil rakyat Elizabeth Wong berkata kira-kira 50 penduduk turut dibantu mendaftar Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan menikmati manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

“Ini adalah inisiatif turun padang pertama dan kita memang mengutamakan Orang Asli kerana mereka kurang mahir mengisi permohonan secara dalam talian selain ada yang tidak mempunyai peranti.

“Pada masa sama, mereka turut mendapat maklumat lanjut mengenai semua insentif kebajikan yang ditawarkan kepada rakyat dan boleh terus memohon,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Dalam majlis berkenaan, Elizabeth turut menyumbang bakul makanan asas kepada penduduk bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian.

Bingkas yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan dana RM108 juta.

Program itu adalah sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) itu membolehkan penerima memperoleh bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.


Pengarang :