Para Kontinjen Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berarak sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hari Kebangsaan disambut meriah seluruh negara

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Kemeriahan dan kehangatan sambutan Hari Kebangsaan 2022 tidak hanya dapat dilihat dan dirasai pada acara perbarisan yang berlangsung di Dataran Merdeka pagi ini malah di seluruh negara.

Semangat patriotik dan rasa teruja dapat dilihat pada segenap lapisan masyarakat dari pelbagai ceruk tanah air apabila mereka hadir untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di peringkat negeri masing-masing pagi ini.

Ketiadaan sambutan Hari Kebangsaan secara besar-besaran selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19 meningkatkan semangat patriotik rakyat Malaysia untuk membawa seisi keluarga termasuk anak masing-masing dari awal pagi untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan sambutan kali ini walau di mana mereka berada.

Terjemahan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama dapat dilihat dengan kebanjiran rakyat dan kemeriahan di setiap venue sambutan Hari Kebangsaan 2022 di pelbagai lokasi yang meriah dengan kibaran Jalur gemilang di sana sini.

Orang ramai yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi 31 Ogos 2022. Foto BERNAMA

Di Melaka, kira-kira 10,000 pengunjung memenuhi Dataran Sejarah Ayer Keroh bagi mengikuti sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang berlangsung meriah, dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Ab Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sejurus tiba pada 8.30 pagi, Mohd Ali kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan disusuli upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh sepasukan enam pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah Kem Batu Berendam.

Acara kemudiannya bersambung dengan bacaan ikrar dan laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh hadirin yang hadir selain persembahan deklamasi sajak, nyanyian lagu-lagu patriotik dan acara padang.

Di Pulau Pinang, orang ramai yang mengambil kesempatan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 bersama keluarga mula berkumpul di Jalan Padang Kota Lama seawal 8 pagi sambil mengibar Jalur Gemilang serta menyanyikan lagu patriotik Tanggal 31, Saya Anak Malaysia sebelum perarakan bermula.

Di Alor Setar, sambutan Hari Kebangsaan bermula pada 9 pagi sebaik keberangkatan tiba Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff di Dataran Medan Bandar, di sini.

Turut berangkat Tunku Mahkota Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sambutan bermula dengan istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Sallehuddin sebelum diteruskan dengan persembahan koir dan perbarisan 115 kontinjen pelbagai agensi, jabatan, institusi pendidikan dan pasukan beruniform yang disaksikan lebih 20,000 hadirin.

Di Johor, kira-kira 6,000 pengunjung hadir untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Iskandar Puteri di sini hari ini yang berlangsung penuh warna-warni dengan penyertaan 131 kontinjen, persembahan pentomen, nyanyian serta persembahan pasukan keselamatan.

Sambutan bermula dengan perbarisan kontinjen pada kira-kira 7.30 pagi diikuti ketibaan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyertai konvoi kereta vintaj keluaran era pramerdeka untuk menuju ke pentas utama bagi menyampaikan amanat merdeka.

Onn Hafiz dalam ucapannya berkata semangat bangsa Johor dalam meraikan Hari Kebangsaan perlu diteruskan demi meraikan perjuangan orang terdahulu demi memastikan Johor menjadi sebuah negeri maju.

Kontinjen Tentera Darat Malaysia melintasi pentas kenamaan pada acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Perak di hadapan Dewan Bandaran Ipoh pada 31 Ogos 2022. Foto BERNAMA

Di Perak, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, anakanda baginda berdua Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya berkenan berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di hadapan Dataran Bandaran Ipoh yang turut disertai 15,000 orang.

Perbarisan disertai 95 kontinjen melibatkan seramai 6,200 peserta termasuk pembawa bendera, kenderaan, petugas pelbagai jabatan kerajaan dan pasukan keselamatan.

Di Pahang, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri di pekarangan Padang Majlis Bandaraya Kuantan, hari ini.

Turut hadir barisan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain perbarisan kehormat pasukan beruniform, sambutan itu dihiasi dengan persembahan koir lagu patriotik kumpulan koir Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Pahang dan deklamasi puisi oleh waris pejuang tanah air Mat Kilau, Mohd Al Hamadi Abu Bakar dan ditutup dengan lintasan udara lima pesawat Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Di Kelantan, persembahan Simfoni Pergendangan gabungan kaum Melayu, Cina, India dan Siam antara pengisian menarik yang menyerakkan semangat hampir 5,000 pengunjung di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu yang hadir untuk meraikan Hari Kebangsaan 2022.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika berucap pada majlis sambutan itu menyeru supaya rakyat di negeri itu menjalinkan hubungan yang harmoni sesama kaum, saling hormat-menghormati antara satu sama lain supaya keamanan dan kesejahteraan kekal terpelihara sepanjang masa.

Di Terengganu, sambutan Hari Kebangsaan 2022 berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung yang memenuhi Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu seawal 7 pagi dan dimulakan dengan perarakan 107 kontinjen yang terdiri daripada 3,835 peserta.

Sambutan turut dimeriahkan dengan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang ketika berucap menyeru rakyat Terengganu supaya terus menyemarakkan semangat perpaduan ummah dan perpaduan nasional bagi mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan dalam kalangan pelbagai bangsa.

Orang ramai mengambil gambar bunga api ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Di Negeri Sembilan, kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat membanjiri pekarangan padang Majlis Bandaraya Seremban, di sini seawal pukul 5.30 pagi bagi menyambut Hari Kebangsaan peringkat negeri dengan ada yang berpakaian bertemakan Jalur Gemilang.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan kira-kira pada 8.15 pagi.

Di Labuan, lebih 3,000 pelajar, warga pendidik dan penjawat awam di pulau bebas cukai ini membanjiri pekarangan Arena Lawn Bawl bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang antara lain diserikan dengan persembahan pengisahan kenegaraan, pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti karaoke dan sukaneka.

Di Kota Kinabalu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Merdeka yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R M Jasni dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan dan koir serta disaksikan lebih 1,000 pengunjung.

Di Sarawak, sambutan Hari Kebangsaan 2022 disambut meriah dengan pelbagai acara yang diadakan di pekarangan Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong kira-kira 250 kilometer dari bandar raya Kuching, dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud sebagai tetamu kehormat dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Lebih 1,000 pengunjung menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan itu.

-BERNAMA


Pengarang :