Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sempena Aidiladha di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS: Ratusan penduduk rebut peluang beli ayam, telur murah

SHAH ALAM, 22 OGOS: Ratusan penduduk di Kampung Melayu Subang dan Kundang, dekat sini tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dalam program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), semalam.

Menurut perbadanan itu, pihaknya menerima hampir 200 pengunjung di kedua-dua lokasi berkenaan yang berlangsung serentak mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Antara barangan keperluan yang mendapat tumpuan adalah minyak masak yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram, ayam segar (RM13 seekor) dan telur ayam gred B (RM12.50 sepapan).

“Barangan lain turut dijual pada harga murah termasuklah daging (RM39 perpek), sayur dan buah (harga dari ladang) serta ikan (RM10 perpek),” katanya.

PKPS turut memaklumkan pihaknya bakal menganjurkan program Jualan Mega Merdeka di Dataran Pantai Batu Sepat, Kuala Langat pada 28 Ogos.

Program diadakan sejak Disember tahun lalu bakal menjelajah ke 160 lokasi lagi di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Pada 25 Julai, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim memaklumkan lebih 80,000 rakyat negeri ini menerima manfaat melalui program berkenaan.


Pengarang :