Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan peserta pertandingan kabaddi Piala Muhibbah Klang di Dewan Sukan Andalas, Taman Sri Andalas, Klang pada 14 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Selangor anjur kejohanan kabaddi sempena Deepavali, libat peserta negeri lain

KLANG, 14 OGOS: Kejohanan sukan kabaddi yang melibatkan penyertaan pasukan negeri lain akan diianjurkan di Selangor sempena sambutan Deepavali pada Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertandingan yang dijadual berlangsung di Klang itu diharap mampu meningkatkan persaingan antara peserta.

“Saya juga mencadangkan supaya penganjuran pertandingan kabaddi melibatkan kategori peringkat umur. Ini penting untuk pembangunan sukan ini pada masa hadapan.

“Selain program sukan ini, kita juga adakan Bazar Deepavali di Jalan Tengku Kelana. Seperti yang kita semua tahu Klang merupakan lokasi popular setiap kali perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan kabaddi Piala Muhibah Klang di Kompleks Sukan Andalas, di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Sebanyak 20 pasukan termasuk dari Sarawak bersaing dalam Piala Muhibah Klang yang menawarkan wang tunai RM5,000 bagi juara kategori lelaki manakala juara kategori wanita membawa pulang RM3,000.


Pengarang :