AGENDANASIONAL

KPDNHEP beralih kepada pendigitalan sepenuhnya menjelang 2024

BANGI, 29 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan untuk beralih sepenuhnya kepada pendigitalan menjelang 2024 bagi menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof berkata pendigitalan itu akan melibatkan kesemua kluster atau sektor perkhidmatan antaranya penguatkuasaan, barangan kawalan dan subsidi, perdagangan pengedaran dan perniagaan.

Katanya pada masa ini, tahap penerapan pendigitalan di sektor berkenaan sudah mencapai tahap 80 peratus dan masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan termasuk mengubah cara kerja atau pemikiran warga kementerian untuk beralih kepada pendigitalan.

“Dari segi penerapannya, ada (sektor) yang sudah bermula (laksanakan pendigitalan), ada yang belum sebab itu kita bekerjasama dengan Universiti Malaya untuk menghasilkan rangka tindakan (blueprint) Pendigitalan Perkhidmatan KPDNHEP Secara End-To-End (E2E) dan data raya bermula dari 15 Ogos hingga 14 Okt 2022.

“Cadangan yang diberikan dalam blueprint itu akan membantu kita merancang pendigitalan bagi setiap sektor bergantung kepada kerumitan atau keadaan semasa sektor itu sekarang,” katanya dalam sidang media selepas menerima serahan dokumen blueprint berkenaan daripada syarikat perunding UPUM Sdn Bhd, di sini hari ini.

Azman berkata menerusi pelan tindakan itu, KPDNHEP juga yakin akan berupaya melahirkan ekosistem digital yang bersifat E2E bagi kesemua perkhidmatan dan tidak lagi membangun atau menggunakan sebuah sistem perkhidmatan yang berbentuk terpisah iaitu separa teknologi dan separa lagi tidak berteknologi.

“Kebanyakan sistem kita hari ini adalah berbentuk recording (catatan) dengan proses kerja dilakukan secara konvensional, sedangkan kita perlukan satu sistem yang boleh menganalisis data menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) agar dapat membantu kementerian membuat keputusan yang tepat berhubung dasar melibatkan pengguna dan kumpulan peniaga.

“Dalam era baharu ini, pembangunan digital ini adalah satu kemestian. Kalau kita ketinggalan dalam mengejar teknologi baharu (pendigitalan) kita mungkin akan ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain, dalam hal ini kementerian tidak boleh berasa selesa sebaliknya mesti terus berusaha mencari cara yang terbaik untuk kekal relevan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :