Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Lembah Jaya di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 17 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesara beli barangan jualan murah bantu jiran kurang berkemampuan

AMPANG JAYA, 17 SEPT: Seorang pesara memanfaatkan program Jualan Ehsan Rakyat (JER) dengan membeli barangan keperluan untuk disedekahkan kepada jiran tetangga yang kurang berkemampuan.

Pesara Noormaznah Ramli, 65, berkata dia mengambil pendekatan berkenaan berikutan harga yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) lebih murah dari pasaran.

Noormaznah ramli, 65

“Ada kawan-kawan yang telah uzur jadi kita bagi kepada mereka. Saya habiskan lebih RM170 hari ini untuk membeli barangan yang bukan keperluan saya sahaja malah untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Ini pertama kali saya tahu program ini. Baru tahu jam 9.10 pagi tadi, alhamdulilah sempat datang dan saya bersyukur dapat berkongsi bersama orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program JER di Taman Ampang Indah di sini, hari ini.

Azlinawati mat hussin, 37

Suri rumah Azlinawati Mat Hussin, 37, mengharapkan jualan seperti ini dapat dikekalkan dan bukannya berkala dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya beli beras, ayam, daging dan telur dengan harga lebih RM70 kalau di luar dah beratus ringgit.

“Bayangkan dengan harga macam ini dapat pelbagai barangan jadi memang kami berharap sangat jualan ini dapat diadakan setiap hari,” katanya.

Ismail Rejab, 60

Sementara itu, Ismail Rejab, 60, berkata dia berasa bertuah menjadi rakyat Selangor kerana dapat membeli barangan pada harga yang murah.

“Sekarang ini semua mahal, alhamdulilah Kerajaan Negeri prihatin dan memahami masalah yang dihadapi rakyat. Terima kasih dan saya harap ada lagi selepas ini,” katanya.

Terdahulu, orang ramai beratur sejak 9.00 pagi walaupun hujan bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas yang dijual PKPS.

Agensi itu yang menjelajah ke sembilan lokasi setiap hari menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Hujan tidak menghalang orang ramai beratur awal pagi bagi membeli barangan keperluan harian ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Lembah Jaya di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 17 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :