Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN di Melaka pada 10 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar persoal kerajaan mahu adakan PRU ketika musim banjir

SHAH ALAM, 10 OKT: Ketua pembangkang mempersoal tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat dengan mengadakan pilihan raya ketika negara berdepan musim banjir.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu ternyata suatu penghinaan kepada rakyat yang kini terbeban dengan pelbagai isu termasuk kenaikan harga barang, ancaman musibah banjir dan dampak buruk dari kemelut alam serta iklim.

“Musim banjir telah pun bermula tatkala sebahagian kawasan di Sabah telah ditenggelami air. Sebahagian kawasan sungai Muar telah melimpah dan menjejaskan dua kampung. Di Baling lapan sungai melepasi paras bahaya.

“Pakar cuaca juga menjangkakan hujan lebat akan berterusan. Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihanraya pada saat ini?, katanya dalam kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, sekiranya pilihan raya yang diadakan memberi risiko, mengundi akan menjadi cabaran bagi sesetengah rakyat, maka ia dilihat seperti menipu dan cuba menghalang pengundi dari melaksanakan tanggungjawab.

Petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ismail Sabri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari semalam bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Pada 5 Oktober lalu,  Majlis Presiden HARAPAN memutuskan tiga negeri ditadbir  Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya  PRU15  diadakan tahun ini.

Majlis itu menjelaskan fokus pentadbiran ketiga-tiga negeri terbabit adalah menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat.


Pengarang :