Aksi perlawanan keempat Liga Super Wanita antara FC Spicegals dan MBSJ FC Radia Arena A pada 26 Februari 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

MBSJ FC,UPNM FC mara ke suku akhir Liga Super Wanita FAS

SHAH ALAM, 27 FEB: MBSJ FC mara ke suku akhir Liga Super Wanita (WSL) anjuran Persatuan Bolasepak Selangor selepas membelasah FC Spicegals 3-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan A semalam.

Beraksi di Radia Arena A, pasukan pelawat membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Nur Afrina diikuti gol Steffi Sarge Kaur dua minit kemudian.

FC Spicegals cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan namun terpaksa akur di kedudukan kedua kumpulan selepas Nur Shazreen menghasilkan gol ketiga pada minit akhir permainan.

Turut mara FC Swat yang berjaya menduduki tempat ketiga selepas menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan FA hasil jaringan Siti Nabila pada minit ke-41.

Satu lagi tempat ke suku akhir kumpulan A menjadi milik PJKITA yang menewaskan SA United 4-1 untuk mengutip mata penuh kedua sepanjang kejohanan.

Sementara itu, dua jaringan Henrietta Justine pada minit ke-13 dan 19 membantu UPNM FC mengesahkan tempat ke suku akhir selaku juara kumpulan B selepas membelasah Sternen FC 4-0.

Naib juara kumpulan B milik Kelana United FC yang turut berpesta jaringan membelasah pasukan di kedudukan keempat SSS Leopard 6-1 di Radia Arena B.

UiTM Lioness turut mengutip mata penuh dalam perlawanan terakhir kumpulan selepas membelasah pasukan di tangga terbawah kumpulan PNSB FC 4-1.

Suku akhir WSL berlangsung di Stadium MBSJ, Subang Jaya pada 4 dan 5 Mac.


Pengarang :