Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir menyerahkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada rumah terbuka Riang Raya@PJ anjuran MBPJ di Laman MBPJ pada 19 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Hujan lebat tidak halang pengunjung meriahkan rumah terbuka MBPJ

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 20 MEI: Hujan lebat tidak menghalang lebih 10,000 pengunjung beratur panjang sambil berpayung menikmati juadah pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pihaknya berbesar hati melihat sambutan pengunjung biarpun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Sambutan Riang Raya@PJ adalah tanda penghargaan kepada masyarakat sekitar khususnya di Petaling Jaya bertujuan eratkan silaturahim antara pihak majlis dengan masyarakat setempat.

“Ia juga adalah simbolik eratkan perpaduan dan penyatuan pelbagai kaum di negara ini selain berkongsi rezeki serta kegembiraan dengan masyarakat setempat,” katanya.

Kelihatan pengunjung berpayung ketika menikmati juadah pada majlis rumah terbuka Riang Raya@PJ anjuran MBPJ di Laman MBPJ pada 19 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Turut hadir Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv, ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar dan ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri.

Sebanyak 40 jenis juadah dihidang termasuk sate, kambing bakar, rojak pasembor, mi bandung, char kuetiau, nasi lemak bungkus, martabak, lemang, ketupat, kuih-muih, cendol dan apam balik.

Mohamad Azhan turut memberikan duit raya kepada 1,000 kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan seperti Ramlah Ram, Haziq Rosebi dan Mamat selain persembahan kakitangannya yang mendendangkan lagu Lebaran di Petaling Jaya.


Pengarang :