Antara pembida yang hadir pada acara lelongan membabitkan 100 kenderaan sita pelbagai jenis di Dewan Serbaguna Kompleks JPJ Pahang Indera Mahkota, Kuantan pada 30 Mei 2023. Foto Facebook JPJ Negeri Pahang
AGENDANASIONAL

JPJ Pahang lelong kenderaan sita serendah RM200, raih RM993,770

KUANTAN, 31 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang melakukan acara lelongan membabitkan 100 kenderaan sita pelbagai jenis dengan lelongan tertinggi berharga RM50,100 dan terendah, RM200 di Dewan Serbaguna Kompleks JPJ Pahang Indera Mahkota, di sini semalam.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata lelongan awam ke atas kenderaan yang dilucut hak itu dari 9 pagi hingga 2.30 petang itu disertai 124 individu atau pembida dan ia berjalan lancar serta teratur.

“JPJ Pahang meraih RM993,770 hasil lelongan awam kali pertama diadakan tahun ini yang membabitkan 24 motosikal dan 42 kereta pelbagai jenama.

“Lelongan tertinggi, kenderaan Subaru Impreza berharga RM50,100 manakala terendah RM200 bagi Proton Iswara 1.3S,” katanya di sini semalam.

Antara kenderaan yang dibida orang ramai pada acara lelongan membabitkan 100 kenderaan sita pelbagai jenis di Dewan Serbaguna Kompleks JPJ Pahang Indera Mahkota, Kuantan pada 30 Mei 2023. Foto Facebook JPJ Pahang

Beliau berkata, bidaan minimum bagi kenderaan jenis motosikal ialah RM80 dan bidaan permulaan yang tertinggi RM14,800 membabitkan kenderaan Honda Integra buatan 2005. Dua kenderaan klon iaitu kereta Honda Integra dibuka untuk bidaan bermula RM14,800 dan RM14,300, lapor Berita Harian.

“Kita turut melelong tiga kenderaan berat termasuk lori serta masing-masing dua van dan pacuan empat roda.

“Individu yang menyertai lelongan terlebih dahulu telah melengkapkan borang atau dokumen lelongan dikeluarkan JPJ sebelum ini yang jual pada harga RM70.

“Saya berpuas hati dengan perjalanan aktiviti lelongan yang diadakan dengan penyertaan ramai pembida, kebanyakan mereka sebelum ini pernah menyertai proses lelongan diadakan JPJ Pahang,” katanya.

Beliau berkata, rata-rata pembida yang ditemui menyatakan mereka berpuas hati dengan perjalanan proses lelongan, mereka membida secara profesional dengan harga berperingkat sehingga tiada lagi pencabar.

Kamarul Iskandar berkata, mereka yang membuat bidaan mengikut kemampuan terutama selepas melihat sendiri kenderaan yang diinginkan kerana sebelum ini pihaknya memberi peluang melihat lebih dekat kenderaan akan dilelong.

“Selepas berjaya memenangi bidaan, individu terbabit boleh terus membayar di kaunter disediakan dalam dewan, pegawai JPJ turut membantu dalam proses seterusnya bertujuan memudahkan mereka yang terbabit,” katanya.


Pengarang :