Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

400 pengunjung serbu jualan murah, nombor giliran habis seawal 9 pagi

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 1 JUN: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan lebih 400 penduduk hadir sejak jam 7.30 pagi.

Pembantu tadbir Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata 350 nombor giliran habis diedar seawal jam 9 pagi walaupun jualan bermula jam 10 pagi.

Norazyyati Hassan

“Sambutan makin tinggi, maklum balas pengunjung juga positif,” kata Norazyyati Hassan pada program di Dewan Rakyat Batu Caves di sini hari ini.

Beliau juga mencadangkan JER dianjurkan di pelbagai lokasi setiap DUN supaya lebih ramai lagi penduduk mendapat manfaat.

Sementara itu, pegawai Pusat Khidmat DUN terbabit berkata jualan hari ini merupakan lokasi pertama daripada lima yang dirancang bagi bulan ini.

“Kita rancang anjur program serupa bagi menyantuni penduduk seperti program bakul makanan dan ziarah rumah penduduk,” kata B Shanmugam.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program JER diteruskan sehingga 1 September ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :