Hairul Azreen Idris ketika menjayakan penggambaran Malbatt: Misi Bakara di Turki berdasarkan foto yang dimuat naik pada 29 Ogos 2023. Foto Instagram Hairulazreen
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Malbatt: Misi Bakara beri Hairul rasai pengalaman sebenar berperang

Oleh Intan Syuhada Akhir

Jantung berdegup laju. Peluh dingin meleleh di dahi. Ledakan bom dan simpang siur peluru raifal benar-benar mencemaskan. Bunyi kuat bahan letup berhampiran tempat Hairul Azreen Idris meniarap mendesing lama di telinga.

Namun, pelakon Malbatt: Misi Bakara cekal meneruskan latihan bermain bersama senjata api. Dia tahu dirinya perlu dibiasakan dengan ledakan bom dan percikan peluru.

Semua itu harus dilakukan supaya dapat menghidupkan babak operasi menyelamat oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1993 di Mogadishu, Somalia.

Latihan insentif di bawah seliaan tentera sebenar di Port Dickson, Negeri Sembilan itu sebagai persediaan untuk suami kepada pempengaruh Hanis Zalikha menjayakan penggambaran di Turki.

“Sepanjang pembikinan filem ini, memang ada ledakan bom. Saya pernah melakonkan babak letupan bom sebelum ini. Ada pelakon yang mungkin pertama kali melalui pengalaman ini.

“Ada juga babak saya melewati kawasan letupan dan tempat menembak. Walau kami hanya menggunakan peluru kapur, namun bunyi tembakan itu terngiang-ngiang juga. Maklumlah saya tidak memakai penyumbat telinga sebab tidak mahu ia kelihatan di dalam skrin,” katanya.

Membawakan karakter Leftenan Ismail, filem menelan belanja RM20 juta itu diinspirasikan kisah Batalion Malaysia (Malbatt) semasa operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam perang saudara Somalia.

Dibawakan sutradara Adrian Teh, lokasi penggambaran diadakan di beberapa kawasan bandar selatan Turki antaranya Gaziantep, Kilis dan Adana.

“Untuk filem ini, barulah saya rasa set penggambaran di luar negara lebih gila. Sebabnya di sana, mereka siap tutup jalan. Pendek kata, saya bangga. Kalau tengok imej janaan komputer yang digunakan terutama untuk babak letupan, umpama tiada cacat cela.

“Semua ini boleh dilakukan disebabkan kos. Adrian tahu bagaimana menggunakan bajet RM20 juta itu dan tidak mengambil kesempatan,” katanya semasa majlis pelancaran promosi filem Malbatt: Misi Bakara baru-baru ini.

Hairul Azreen berkata, watak Leftenan Ismail dibawanya dalam filem diilhamkan daripada kisah salah seorang anggota RAMD terbabit operasi itu.

Dedah beliau, anggota tersebut yang hanya mahu dikenali Jeneral Khairul banyak membantunya semasa latihan di Port Dickson. Malah berkongsi detik-detik mendebarkan sepanjang di Somalia.

“Semasa latihan di Port Dickson, beliau datang berjumpa. Ceritanya, semasa kejadian sebenar, dia nyaris terkena letupan bom mortar. Mujur beliau sempat alih badan dan dapat elak bom,” katanya.

Bukan sebab nama

Selepas melakonkan filem PASKAL pada 2018, diikuti filem Malbatt: Misi Bakara pada tahun ini, Hairul merasakan kepuasan setiap kali terlibat dengan naskhah patriotik.

“Ramai generasi muda tak tahu askar kita hebat. Sebabnya, setiap cerita perang yang dibuat negara luar, naratifnya mesti menunjukkan mereka hero. Sedangkan askar kita sebenarnya hebat, mereka yang selamatkan askar Amerika Syarikat di Somalia.

“Semasa filem PASKAL, kemasukan askar dan tentera baharu meningkat 40 peratus. Saya harap Malbatt memberikan kesan sama khususnya buat generasi muda,” katanya.

Baru-baru ini, Hairul Azreen dalam satu temu bual bersama stesen radio swasta semasa mempromosikan filem itu, mengumumkan persaraan sebagai aktor bagi menumpukan perniagaannya. Ia sekali gus menjadikan filem itu sebagai naskhahnya yang terakhir.

Malbatt: Misi Bakara mengisahkan sepasukan anggota RAMD berusaha menyelamatkan tentera Amerika Syarikat apabila helikopter Black Hawk milik mereka ditembak jatuh di pasar Bakara, Mogadishu pada 1993.

Selain Hairul Azreen, filem yang ditayangkan mulai 24 Ogos ini turut dibintangi Bront Palarae, Tony Eusoff, Dafi Ismail, Shaheizy Sam, Taufiq Hanafi, Theebaan G dan Dini Schatzmann.


Pengarang :