Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas sesi pendengaran awam penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JKNS rampas vaksin tifoid tidak berdaftar bernilai lebih RM56,000

SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melalui cawangan penguatkuasaan farmasi (CPF) merampas vaksin tifoid tidak berdaftar bernilai lebih RM56,000 sejak 2021 hingga kini.

Terbaharu, Pengarahnya Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata vaksin demam kepialu dengan nilai dianggar lebih RM12,000 dirampas hasil penguatkuasaan ke atas lima klinik perubatan swasta negeri ini pada 18 Oktober lalu.

“CPF JKNS menerima aduan orang ramai berkenaan perkhidmatan suntikan vaksin tifoid ditawarkan klinik perubatan swasta yang menggunakan vaksin tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (PBKD KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua kes terbabit disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dengan individu didapati bersalah boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Sementara syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh didenda sehingga RM50,000 mengikut akta tersebut.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai membeli dan menggunakan ubat-ubatan serta produk kesihatan yang berdaftar dengan PBKD KKM bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan awam.

Jelasnya orang ramai juga digalak mengemukakan aduan dan menyalur maklumat berkaitan ubat-ubatan serta produk meragukan bagi membanteras aktiviti penjualan itu.

Aduan boleh disalur kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Maklumat juga boleh dikemukakan di mana-mana CPF berdekatan melalui talian 03-78413200.


Pengarang :