Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Selangor Abdullah Kamal Ahmad (kanan) menyampaikan kotak makanan kepada waris pencarum pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Norsham Hassan di Seksyen 2, Shah Alam pada 24 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pencen penakat arwah isteri bantu tampung belanja anak

SHAH ALAM, 24 OKT: Suami kepada wanita yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Seksyen 2 di sini bagaikan tidak percaya apabila menerima faedah pencen penakat dan pengurusan mayat selepas lebih dua bulan pemergian isterinya.

Norsham Hassan, 45, berkata isterinya Rosmawati Safri, 38, hanya suri rumah dan tiada sumber pendapatan sebelum dikhabarkan bahawa arwah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah sejak 1 Disember tahun lepas.

Menurut bapa tiga anak, dia dihubungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dua minggu selepas pemergian arwah yang memintanya mengisi dokumen bagi proses tuntutan faedah terbabit.

Katanya pada awalnya dia enggan berbuat demikian kerana menyangka ia jenayah penipuan dalam talian (scammer) sebelum beberapa pegawai Perkeso berkunjung ke rumahnya bagi memberi penjelasan.

“Sepanjang hayat, arwah tidak pernah beritahu dia mencarum Perkeso. Cuma sebelum meninggal, arwah pesan supaya saya guna wang simpanan sebaiknya untuk anak-anak dan saya tidak tahu kata-katanya itu merujuk kepada simpanan ini (pencen penakat).

“Selepas arwah meninggal, Perkeso hubungi saya untuk isi maklumat dan hantar borang tuntutan faedah. Ketika itu saya tidak percaya dan syak ‘scammer’ sebab setahu saya arwah memang tidak pernah mencarum.

“Saya terkejut bagaimana dia boleh mencarum sedangkan dia tidak bekerja. Suatu hari saya jumpa fail caruman Perkeso arwah dan pihak Perkeso datang rumah untuk pengesahan,” katanya.

Serahan faedah pengurusan mayat bernilai RM2,000 berserta kotak makanan prihatin disampaikan Timbalan Pengarah Perkeso Selangor Abdullah Kamal Ahmad di kediamannya hari ini.

Melalui skim itu, waris juga menerima faedah pencen penakat RM300 sebulan hingga usia arwah mencapai 55 tahun.

Penyelia lapangan syarikat pengurusan trafik di Cheras berkata bayaran faedah itu akan digunakan untuk menampung keperluan tiga anaknya yang berusia antara 13 hingga 21 tahun.

“Saya berterima kasih dan terhutang budi kepada Perkeso kerana menguruskan perkara ini. Saya juga terharu kerana mereka sanggup datang ke rumah beri penjelasan.

“Faedah ini akan diberi kepada anak-anak kerana mereka lebih memerlukan, apatah lagi mereka kehilangan ibu yang sudah membesarkan kecil,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Kamal memaklumkan arwah Rosmawati merupakan pencarum kategori e-Kasih dengan perlindungan bermula 1 Disember 2022.

“Orang Berinsurans (OB) ini suri rumah sepenuh masa yang diabstrak daripada e-Kasih. Selepas data pencarum diperoleh melalui Jabatan Pendaftaran Negara, kami segera ke rumah arwah.

“Arwah bayar caruman RM120 setahun dan meninggal 13 Ogos 2023, jadi masih bawah perlindungan,” katanya.


Pengarang :