Peserta menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring sempena Jelajah kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNAGENDASELANGOR

Dana RM59.7 juta jayakan inisiatif kesihatan awam negeri

SHAH ALAM, 10 NOV: Sejumlah RM59.7 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program dan inisiatif kesihatan awam tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Iltizam Selangor Sihat diteruskan melibatkan peruntukan RM35 juta yang memberi manfaat kepada 100,000 pemegang polisi utama dan anggaran 150,000 orang ahli keluarga berdaftar.

“Setiap pemegang polisi layak mendapatkan rawatan asas dan vaksinasi tahunan berjumlah RM500 bagi kategori keluarga dan RM250 setahun untuk individu di mana-mana klinik panel di seluruh negeri.

“Menyedari kos bagi rawatan hospitalisasi tinggi di hospital swasta dan golongan yang berpendapatan rendah tidak mempunyai kemampuan kewangan bagi membiayai rawatan tersebut, Kerajaan Negeri memperluas manfaat sehingga RM10,000 setahun di hospital panel terpilih,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.

Tambah Amirudin, manfaat tambahan yang diberikan sebelum ini turut dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan bagi memastikan tidak bertindih dengan manfaat di bawah program lain antaranya penyakit kritikal sebanyak RM5,000, manfaat kematian semulajadi (RM5,000).

“Manfaat ini akan turut meliputi bagi ahli keluarga berdaftar di bawah inisiatif ini,” katanya.

Kerajaan Negeri juga, katanya, meneruskan Bantuan Sihat Selangor (BSS) yang diperkenalkan sejak 2009 dengan peruntukan berjumlah RM5 juta.

Jelasnya, penerima BSS akan menerima bantuan kewangan sehingga RM5,000 untuk menampung kos rawatan kesihatan seperti dialisis buah pinggang, pembedahan katarak mata, pembedahan kecil, rawatan barah, elaun pengangkutan serta bantuan alatan perubatan.

“Kerajaan Negeri juga meneruskan Skim Rawatan Jantung yang menawarkan bantuan kewangan bagi rawatan jantung sehingga RM50,000 kepada golongan yang berkelayakan melalui peruntukan RM5 juta,” katanya.

Berikut manfaat lain diterima dalam aspek kesihatan:

– RM1.5 juta untuk Program Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam bagi penjawat awam Gred 44 dan ke bawah
– Program Selangor Saring dan Saringan Kanser diteruskan dengan kos keseluruhan RM3.2 juta


Pengarang :