SHAH ALAM, 10 NOV: Program bantuan baucar Jom Shopping perayaan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM16.48 juta, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baucar belian barangan keperluan bernilai RM200 disasar kepada 82,400 keluarga kurang berkemampuan.
“Program ini merupakan program bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Deepavali,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.
Beliau menambah syarat pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat itu juga ditingkatkan kepada bawah RM3,000 sebulan berbanding bawah RM2,000 bermula tahun ini.
Tahun ini, sebanyak RM16.48 juta diperuntuk bagi program terbabit.
Sementara itu, Amirudin berkata program Skim Mesra dengan implikasi kewangan RM37.5 juta akan ditambah baik melalui sistem pendigitalan supaya permohonan pendaftaran dan penebusan baucar boleh dibuat dalam talian.
Jelas beliau, penambahbaikan inisiatif meliputi Skim Mesra Usia Emas dan Skim Mesra Insan Istimewa akan menyingkatkan masa sekali gus memudahkan akses pemohon terhadap status permohonan serta penebusan baucar.
Sehingga kini, 547,269 didaftarkan sebagai ahli untuk menikmati manfaat baucar beli-belah RM150 setiap tahun dan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris.