Orang ramai membeli barangan asas sempena Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai gembira jualan murah negeri diterus sepanjang tahun

KLANG,16 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) memudahkan penduduk khususnya golongan warga emas membeli keperluan asas sekali gus meringankan beban.

Warga emas, Junuha Ajid, 74, berkata ketiadaan program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu menyukarkannya untuk mendapatkan barangan dapur selain perlu berbelanja lebih.

Junuha Ajid,74 pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya mesti tidak lepas peluang pergi JER kerana harganya murah seperti telur ayam di luar mencecah RM15 tetapi di sini baru RM10. Saya suka ada jualan ini dan harap diteruskan.

“Ketika jualan tiada, saya dan isteri hanya beli barang keperluan sikit-sikit di kedai kerana harganya agak mahal.

“Memang kami gembira bila dimaklumkan jualan murah ini diteruskan sepanjang tahun,” katanya ditemui pada program tersebut di Masjid al-Falah, Meru di sini, hari ini.

Bagi Siti Maskiah Japi, 43, jualan murah itu membantu menjimatkan perbelanjaan dapur kerana harganya amat murah berbanding di pasaran luar.

“Saya mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan hanya suami yang bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah.

Siti Maskiah Japi,43 pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Dengan adanya jualan, dapat juga membantu suami untuk jimat berganda belanja dapur. Kami bersyukur jualan ini diteruskan bagi terus bantu rakyat,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS

Orang ramai membeli barangan asas sempena Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :